Selasa, 6 November 2012

Sakit Jantung


Sebak hati anak sakit jantung


Azman menunjukkan kesan bengkak pada bahagian dada Sofea akibat jantung berlubang. Turut kelihatan isteri dan anak-anak (kiri) yang lain.
 
 
KANGAR- “Sebak hati saya lihat anak bongsu saya terpaksa menanggung derita akibat jantung berlubang seawal usianya tiga tahun, hati bapa mana yang sanggup melihat darah dagingnya yang aktif menjadi sugul akibat penyakit ini,” luahan hati seorang bapa kepada penghidap jantung berlubang, Ainun Sofea Salsabila Azman, 3.

Azman Abdullah, 46 berkata, dia dan isterinya, Nor Jasmi Desa, 43 mula menyedari penyakit   jantung berlubang yang dihadapi anak bongsu mereka itu sejak 16 Oktober lalu apabila Sofea mengadu sesak nafas.
Menurutnya, disebabkan  bimbang Azman mengambil keputusan membawa anaknya itu ke Klinik Kesihatan berhampiran bagi mendapatkan rawatan, namun keputusan yang diterima Sofea hanya demam biasa dan tidak menghidapi masalah lain.

Disebabkan keadaan Sofea masih tidak stabil, Azman membawa Sofea berjumpa pakar dan dimaklumkan terdapat lubang seluas 1.6 cm di bahagian jantung anaknya itu  dan ia memerlukan pembedahan secepat mungkin.

“Kami kemudiannya membawa Sofea ke hospital di Pulau Pinang dan setelah pemeriksaan dibuat mendapati terdapat dua lubang di jantung anak saya.

"Saya juga dimaklumkan pembedahan harus dilakukan secepat mungkin kerana keluasan lubang yang terjadi pada jantung anak saya tidak sesuai dengan kanak-kanak seusianya.

“Doktor juga memberitahu saya bahawa risiko pembedahan yang bakal dijalankan ke atas Sofea 50/50 kerana keadaan jantungnya yang tidak stabil, " katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Utan Buloh, jejawi, di sini semalam.

Azman berkata, dia yang bekerja sendiri tidak mampu menanggung kos pembedahan sebanyak RM35,000.
Menurutnya,  pada 7 November depan dia perlu membawa Sofea ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk menjalankan pemeriksaan lanjut bagi menentukan tarikh pembedahan yang perlu dilakukan bersesuaian dengan tahap kesihatannya.

Azman berkata,  penyakit jantung berlubang yang dihadapi anaknya itu berada pada tahap kritikal dan dengan kekangan kewangan yang terpaksa ditempuhi mereka sedikit sebanyak menjejaskan proses pembedahan yang bakal dijalankan.

Menurutnya, sejak Sofea dikesan menghidapi penyakit jantung berlubang dia tidak menjalankan perniagaan menjual makanan kerana sibuk menguruskan segala urusan hospital sehingga menyebabkan pendapatan mereka sekeluarga terjejas.

“Saya sebagai bapa merayu kepada pihak yang prihatin terhadap nasib anak bongsu saya supaya menghulurkan bantuan bagi menampung kos pembedahannya.

Disebabkan itu isteri saya juga mengambil upah menjaga anak jiran bagi menampung perbelanjaan kami sekeluarga.
“Saya sendiri menghidapi penyakit lemah jantung sejak 2000 lagi, manakala isteri saya juga merupakan penghidap diabetes dan Talasemia,” katanya.

Pelbagai rawatan sama ada tradisional mahupun moden dijalankan Azman bagi menyembuhkan penyakit yang dialami anaknya itu, namun keadaan jantung Sofea masih lagi tidak stabil.

Azman berkata, dia sendiri memohon bantuan kepada semua badan dan agensi untuk membantunya menampung kos pembedahan itu.

Bagi yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan bantuan melalui akaun bank CIMB Bank di atas nama Azman Abdullah bernombor 09020128949528 atau Manyabank bernombor 109018032184.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan