Selasa, 6 November 2012

SPM - Jangan Gopoh

Pelajar diingat jangan gopoh jawab soalan peperiksaan SPM


 Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyerahkan peralatan tulis kepada Dun Kasa (kanan) pada Majlis Perjumpaan Pelajar Terbaik dan Cemerlang Sekolah-Sekolah Perlis di Padang Besar, semalam. Turut berangkat Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil. 
PADANG BESAR 3 Nov. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini menasihatkan para pelajar jangan bersikap terlalu yakin ketika menjawab soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Baginda bertitah, pelajar juga tidak perlu terburu-buru atau gopoh sehingga tidak membaca kehendak soalan dengan betul.

"Petua ini perlu diingati kerana kesilapan dan kecuaian boleh berlaku kepada sesiapa sahaja termasuk pelajar yang bijak dan pandai," titah baginda.

Baginda bertitah demikian sewaktu merasmikan majlis perjumpaan Pelajar Terbaik/Cemerlang Sekolah-sekolah Menengah Negeri Perlis anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP), di sini hari ini. Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Sebanyak 51 pelajar tingkatan empat dan lima dari sekolah di seluruh Perlis menyertai bengkel selama sehari itu.

Dalam majlis itu, baginda selaku Pengerusi YTSP berkenan menyerahkan alat tulis kepada Pengarah Pelajaran Negeri, Dun Kasa sebagai acara gimik perasmian majlis berkenaan.

Dalam masa sama, Tuanku Syed Faizuddin juga menasihatkan pelajar mengurangkan aktiviti luar sebaliknya menggunakan masa melakukan ulang kaji dan tidak lupa menyemak jadual peperiksaan dari semasa ke semasa sebagai langkah persediaan.

"Jagalah kesihatan dan aspek keselamatan diri dengan mengambil makanan yang seimbang serta dapat mencergaskan minda," titah baginda.

Baginda bertitah, pelajar juga diingatkan tidak membazirkan masa sebaliknya memanfaatkan masa selepas tamat peperiksaan dengan membantu ibu bapa.

"Jangan lupa libatkan diri dalam badan-badan sukarela dan kemasyarakatan dan ikutilah kursus singkat seperti komputer, kulinari, kemahiran mekanik dan lain-lain terutamanya yang mengeluarkan sijil-sijil yang boleh membantu apabila hendak memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) atau alam pekerjaan kelak," titah baginda.

Dalam masa sama, baginda turut berpesan supaya pelajar tidak sesekali terlibat dengan gejala sosial yang boleh menghalang mereka menjadi orang yang berjaya pada masa depan.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan