Imej Gua Cenderawasih cacat
Tinjauan Sinar Harian di kawasan terbabit mendapati keadaan bumbung gerai terbabit terlalu daif dan berlubang-lubang dibahagian bumbung dipercayai faktor cuaca sehingga menyakitkan mata pengunjung yang berkunjung ke kawasan terbabit.
Pengunjung, Solihin Saman, 32, berkata, keadaan gerai-gerai terbabit sedikit sebanyak menjejaskan nama baik gua itu yang juga merupakan salah sebuah tempat rekreasi di Perlis.
Tambahnya, sepatutnya pihak berkaitan perlu memantau keadaan gerai-gerai terbabit dan kawasan sekitarnya kerana gua terbabit mempunyai potensi sebagai salah satu keistimewaan Perlis terutamanya sebagai taman rekreasi di kawasan Kangar.
“Kalau kita tengok keadaan gerai ianya terlalu daif, sepatutnya perkara seumpama ini tidak berlaku kerana kawasan persekitaran gua ini yang menjadi tumpuan keluarga kerana kawasannya berdekatan dengan sawah.
“Mungkin faktor kerosakan ini disebabkan cuaca ataupun vandalisme. Hal ini kerana kedudukannya yang terletak jauh di belakang menyebabkan ada segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan merosakkan gerai-gerai ini,” katanya.
Bagi Mohd Amin Mohd Ariff, 25, berkata, dia yang sering kali berkunjung ke taman rekreasi itu juga turut kecewa apabila melihat keadaan gerai terbabit.
Katanya, dengan kedudukan taman rekreasi yang berhampiran jalan besar ianya sepatutnya menjadi kelebihan kepada pihak berkaitan agar mencari alternatif lain bagi menarik lebih banyak pengunjung berkunjung ke sana.
Amin berkata, kebiasaannya Gua Cenderawasih menjadi tumpuan umum ketika waktu pagi dan petang untuk melakukan aktiviti-aktiviti sukan seperti joging dan mendaki bukit serta beriadah bersama keluarga.
“Di sini pemandangannya cukup cantik, selalu saya datang joging di sini pada sebelah petang kerana pagi bekerja. Tetapi timbul rasa hairan kenapa kawasan ini tidak dibangunkan lagi, maksud saya jika dihiasi pelbagai jenis lampu dan ianya juga boleh menjadi salah satu tempat bersantai ketika waktu malam.
“Di kawasan ini pada waktu malam ianya agak gelap gelita di bahagian belakang berhampiran gerai dan boleh menyumbang kepada masalah maksiat. Pihak berkaitan boleh mencari alternatif lain bagi memeriahkan lagi kawasan ini,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Latipah Rahim, 33, berkata, dia juga turut memohon pihak bertanggungjawab dan orang ramai agar sama-sama menjaga khazanah negeri itu terutamanya tempat-tempat menarik yang boleh dikomersialkan sebagai destinasi pelancongan.
Jelasnya, sikap masyarakat juga perlu di ubah agar tidak merosakkan mana-mana kemudahan yang telah disediakan.
“Tempat ini cantik rugilah kalau kita tidak menjaganya. Kalau boleh kawasan ini perlu dimajukan lagi untuk menarik lebih ramai pengunjung. Ramai pengunjung berkunjung ke sini beriadah dan mendaki bukit,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan