Selasa, 6 November 2012

Agama - Tangkal Ayat 1000 Dinar


Ayat 1000 Dinar dijadikan tangkal?

 
Tidak pelik jika pergi ke restoran dan ternampak ayat-ayat suci al-Quran dibingkai dan digantung di dinding premis. (Foto: bahaya-syirik.blogspot.com)
 
MEMULAKAN pencarian dan pemerhatian, pagi itu sebuah kedai mamak di kawasan Sentul menjadi pilihan. Sebaik memasuki ruang makan, mata penulis ligat mencari-cari azimat atau tangkal pelaris yang mungkin digunakan di restoran tersebut.

Sibuk memerhatikan keadaan sekeliling, penulis didatangi pekerja restoran untuk mengambil pesanan. Sedang memberikan menu pesanan, mata masih melilau mencari dan apa yang dicari kelihatan.

Ayat 1000 Dinar berbingkai keemasan digantung kemas berdekatan kaunter pembayaran bersebelah dengan poster kalendar. Apa lebih menarik perhatian ketika itu, pada empat penjuru bingkai berkenaan dibalut kemas dengan cebisan kain berwarna jingga.

Keadaan yang masih belum ramai pelanggan, penulis mengambil peluang berbual dengan petugas di kaunter depan. Ternyata dia adalah pengurus restoran berkenaan.

Berpura-pura ingin meminta tisu, penulis mula menjalankan tugas mendapatkan maklumat.


Bagi rezeki sejuk

“Mamak, ada tisu?” tanya penulis memulakan dan sekejap itu dijawab “Itu dalam kotak, boleh ambil sendiri.” Selesai mendapatkan tisu, penulis masih berdiri di depan kaunter yang mana sudah pasti menimbulkan tanda tanya kepada si Mamak kaunter.

“Sudah habis makan, mahu bayar kah?” sebagai memberi respons kepada pertanyaan itu, penulis lekas-lekas menggelengkan kepala, sekali gus bertanyakan pertanyaan.

“Mamak, kenapa bingkai itu ada tampal dengan kain oren? Kelakar saya tengok,” penulis bertanya santai sambil tergelak kecil.

“Ini kah. Oooo ini saya tak tahu. Bos yang letak. Ini ayat mengaji, bagi rezeki sejuk. Pelanggan ramai masuk, Insya-ALLAH,” jawabnya selamba.

“Oh, macam itu kah mamak. Siapa beritahu tahu awak?” penulis bertanya lanjut.

Saya mana tahu, bos yang cakap macam tu, macam tu lah. Itu bos yang letak, kita kuli sahaja,” jawabnya.

Dia yang berusia 32 tahun memberitahu telah bekerja di restoran berkenaan hampir lapan tahun. Katanya, semenjak bekerja di sini, ayat 1000 Dinar berbingkai cantik berkenaan memang tidak pernah bertukar tempat.

“Sudah gantung situ, lama tak tukar-tukar. Situ sudah gantung, diam-diam duduk.” katanya sambil tangan ligat melakukan kerja-kerja di depan kaunter.

Tak pakai hidup susah?

Tidak berhenti setakat itu, ketika waktu tengah hari, penulis merayau-rayau lagi di sekitar Kuala Lumpur mencari kemungkinan ada tangkal digunakan oleh peniaga di kedai makan Melayu.

Puas mencari, akhirnya penulis singgah makan di sebuah gerai tepi jalan setelah diperkenalkan oleh seorang rakan. Ia bukanlah restoran yang selesa lengkap dengan kipas angin apatah lagi penghawa dingin. Tetapi, jualannya laris, pelanggan tidak putus-putus.

Menurut rakan yang memperkenalkan gerai tersebut, peniaga gerai seorang yang ramah. Sebaik memasuki kawasan gerai, penulis mula menjalankan ‘kerja’. Mata ligat mencari apa yang ingin dicari- tangkal!

Sehingga penulis habis menikmati makanan yang dipesan, apa yang dicari masih tidak berjumpa. Perasaan hampa mula bersarang di dalam hati.

Bergerak malas, penulis mendapatkan tuan gerai untuk membuat bayaran. Ketika hendak mengambil wang baki, terlihat di tangan kakak gerai berkenaan gelang berbentuk kain berwarna coklat kusam yang diikat seperti benang.

Tanpa berlengah penulis terus bertanya, “Kak, ini tangkal ke?” pertanyaan yang jelas tiada berbasa-basi.

Tegang muka kakak itu apabila diterjah pertanyaan yang sah-sah boleh dikatakan layak makan penampar Jepun.

Sedar akan ketelanjuran, penulis lekas melanjutkan pertanyaan dalam bentuk perbualan.

“Maaf lah kak, saya ni kadang-kadang bercakap tak bijak juga. Bukan apa, sekarang ni banyak sangat benda pelik dalam masyarakat kita. Saya baca majalah pagi tadi, katanya orang Melayu kita ni nama sahaja hidup moden tapi masih percaya benda-benda karut dan tahyul.
Itu sahaja lah kak, saya tak ada niat apa-apa pun. Maaf lah kak ye,” kata penulis sambil mengambil beg sebelum beredar.

Sempat lalu di hadapan meja kakak itu sekali lagi untuk mengambil tisu, tiba-tiba kakak itu berkata, “tak pelik pun dik. Orang nak kaya, nak senang macam-macamlah ikhtiarnya. Kalau tak 'memakai' kat bandar KL macam ni payah lah nak hidup. Banyak orang dengki, yang penting naiwaitu kita, jangan aniaya orang sudahlah.”

Penulis segera berlalu sambil meninggalkan segaris senyuman kecil padanya. Di dalam hati lantas diterjah tanda tanya, “Kakak tu cakap semacam aje, entah-entah dia pun memakai pelaris juga kot. Hmmmm macam-macam dunia...”


Tampal dalam baldi duit

Pada hari lain pula, penulis bersama dua rakan satu tempat kerja pergi ke pasar malam di kawasan Shah Alam.

Selain berhajat membeli apa yang diingini, hasrat untuk membuat tinjauan tidak dilupakan. Seperti kata pepatah, sambil menyelam, sambil minum air.

Menuju ke gerai menjual buah-buahan, sambil memilih buah-buahan yang ingin dibeli, mata penulis mencari apakah mungkin si peniaga menampal sesuatu pada bekas tempat menyimpan hasil jualan.

Selang beberapa ketika, terlihat apa yang dicari. Jelas terlihat pada pandangan, stiker berwarna hijau tertera ayat 1000 Dinar ditampal kemas di dalam bekas menyimpan hasil jualan.

Bergerak ke gerai lain, masih membawa hasrat serupa, penulis terlihat lagi keadaan yang sama. Cuma yang berbeza kali ini adalah warna stiker yang ditampal dalam baldi kecil tempat simpan duit. Jika di gerai buah, warna hijau, di gerai menjual ayam goreng ini pula berwarna kuning.
Dalam perjalanan balik, salah seorang daripada rakan menegur, "Jumpa apa yang awak nak cari?" sekejap itu penulis menjawab perlahan, "Ramai rupanya..." dan disambut seorang rakan, "Dah jadi amalan lah ni," sebelum masing-masing senyap.

Mungkin sama seperti penulis, dua rakan tadi masih berfikir mengenai 'penemuan' sebentar tadi.









Tiada ulasan:

Catat Ulasan