2 remaja didakwa lupus mayat
KANGAR 7 Nov. - Dua remaja lelaki masing-masing berusia 18 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan melupuskan keterangan kesalahan iaitu mayat seorang bayi yang baru dilahirkan pada hujung bulan lalu.Khairul Amri Che Ani dari Kampung Padang Benta, Simpang Empat di sini dan Muhamad Affendi Azmi dari Kampung Bukit Papan, Kuala Perlis membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Majistret Zuhair Rosli.
Kedua-dua tertuduh itu dibenarkan diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes pada 6 Disember ini.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka berdua didakwa dengan niat bersama melupuskan mayat bayi tersebut dengan tujuan mengelakkan satu hukuman undang-undang dibuat terhadap ibu bayi berkenaan.
----------------------------------------------------------------
Dua lelaki mengaku tidak bersalah lupus keterangan berhubung mayat bayi
Kedua-dua tertuduh yang masing-masing berusia 18 tahun, Khairil Amri Che Ani dari Kampung Padang Benta dan Mohamad Affendi Azmi dari Kampung Bukit Papan, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan majistret Zuhair Rosli.
Mereka dituduh secara bersama melakukan kesalahan itu di atas titi simen, Kampung Bohor Rotan Pahit pada 24 Oktober 2012 jam 8.30 malam sehingga 9.30 malam bagi melupuskan keterangan kesalahan itu yang bertujuan mengelak hukuman undang-undang terhadap seorang remaja perempuan.
Pendakwaan dilakukan oleh Ketua Unit Pendakwaan Perlis Azhar Mokhtar manakala kedua-dua tertuduh diwakili Zuhair Ahmad Zakuan.
Azhar memohon supaya kedua-dua tertuduh dikenakan ikat jamin RM3,000 setiap seorang berserta penjamin namun majistret Zuhair Rosli membenarkan permohonan peguam kedua-dua tertuduh dengan mengarahkan mereka masing-masing dikenakan ikat jamin RM1,500 bersama seorang penjamin.
Zuhair menetapkan 6 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu.
Pada 24 Oktober lalu, mayat seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemui di sebatang tali air di Kampung Bohor Rotan Pahit selepas polis menerima laporan Hospital Tuanku Fauziah mengenai seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang dirujuk ke hospital akibat pendarahan. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan