Selasa, 6 November 2012

Agama - Tangkal


'Tidak salah guna tangkal jika kena cara'


 
Hassan Mahmud Al-Hafiz
 
PENGGUNAAN ilmu pelaris sebagai ikhtiar memajukan perniagaan tidak salah, kata tokoh ilmuwan Islam, Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz.

Mengulas lanjut, beliau berkata bagaimanapun, ikhtiar berkenaan bukanlah menggunakan jalan atau cara yang salah lagi menyesatkan.

“Dalam Islam, menggunakan ilmu pelaris bertujuan melariskan perniagaan jika kena pada asasnya tidak salah. Malah, terdapat ayat suci al-Quran yang digunakan sebagai ikhtiar atau usaha menarik pelanggan contohnya doa memohon dimurahkan rezeki atau doa perlindungan daripada hasad dengki yang cuba merosakkan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan ayat suci al-Quran sebagai pelaris atau pendinding memang dibolehkan. Menerusi penterjemahan di dalam doa memohon dimurahkan rezeki yang bermaksud, “Ya ALLAH bukalah bagi kami pintu-pintu rezeki, pintu-pintu rahmat, pintu-pintu keselamatan, pintu-pintu ‘afiat, pintu-pintu kesejahteraan ya Karim dengan rahmat Engkau Ya ALLAH wahai yang paling mengasihani daripada segala yang mengasihani”, beliau berkata, dengan menggunakan ayat sebegini juga telah cukup dijadikan sebagai ‘tangkal’ atau ‘azimat’ yang lengkap.

“Kita minta terus daripada ALLAH SWT. Menggunakan doa sahaja telah cukup tanpa perlu bergantung kepada perkara-perkara yang salah dan menjurus kepada perbuatan syirik,” katanya.

Menjawab pertanyaan adakah dibolehkan ayat suci al-Quran dicetak bagi tujuan dijadikan tangkal, beliau menegaskan perbuatan tersebut adalah haram dan boleh jatuh kepada perbuatan syirik.

“Haram menggunakan sebarang tangkal atau benda dalam bentuk fizikal walaupun asas pembuatannya menggunakan ayat suci al-Quran. Rasulullah SAW pernah bersabda, sebarang bentuk gantungan (tangkal) adalah haram,” tegasnya sambil memberitahu perbuatan tersebut boleh menyebabkan seseorang yang mengamalkannya wujud rasa bergantung dan percaya kepada tangkal atau azimat yang dipakai.

Hassan berkata, cukuplah menggunakan ikhtiar dengan cara membaca doa, tidak perlu dijadikan tangkal untuk digantung di dinding, pakai di leher atau dijadikan gelang tangan.

Sementara itu, bagi pelanggan yang mengetahui pekedai atau peniaga tersebut ada menggunakan tangkal pelaris dengan cara digantung atau seumpamanya, beliau yang juga pendakwah bebas berkata, perlu dielakkan.

“Jika tahu peniaga gerai atau restoran tersebut menggunakan tangkal atau azimat sebagai pelaris, maka elakkan daripada menjadi pelanggan mereka.

 Kerana bimbang melakukan perbuatan syubhah di mana boleh jatuh kepada hukum haram.
“Jika tahu, pulaukan sahaja peniaga sebegitu,” tegasnya.

Mengulas lanjut pandangan segelintir peniaga, menggunakan tangkal pelaris bukan bertujuan menganiaya sesama manusia atau makhluk ALLAH lain, sebaliknya hanya untuk perniagaan semata-mata, beliau berkata, ia adalah andaian yang dibuat tanpa berlandaskan hukum agama Islam.

“Dalam bentuk apa sekalipun atau bertujuan apa sekalipun, penggunaan tangkal atau azimat adalah jelas haram,” tegasnya.


Rasulullah contoh peniaga hebat:

(1)  Rasulullah SAW ialah seorang yang mempunyai kefasihan dalam tutur katanya. Tutur katanya lembut, lunak didengar, tidak pernah berbohong dan sentiasa jujur. Kefasihan baginda yang telah diriwayatkan oleh Al-Tarmizi dari Syaidatina Aishah, bermaksud: “Rasulullah berkata-kata dengan perkataan yang terang serta jelas lagi tegas, dapat difahami oleh setiap orang yang mendengarnya (duduk bersama baginda).”

(2) Baginda mengutamakan keredaan ALLAH dan keberkatan mencari rezeki yang halal supaya perniagaan sentiasa berada dalam garisan syariat dan terhindar daripada corak perniagaan orang-orang kafir yang terdapat unsur penipuan, riba', pengurangan dalam timbangan dan lain-lain. Oleh itu, kejujuran, amanah, menjaga segala gerak geri dan tutur kata amat penting bagi seorang ahli perniagaan kerana sifat mulia itu akan menjadikan dirinya dipercayai. Rasulullah melarang jual beli barang yang mengandungi unsur tipu daya.

(3) Rasulullah bekerja keras mencari penghidupan yang halal. Baginda menjalankan perniagaan bukan sahaja untuk menyara kehidupan baginda tetapi untuk mengukuhkan potensi Baginda agar orang yang kaya tampil ke hadapan untuk menghulur modal bagi digunakan Baginda untuk tujuan perniagaan. Muamalah seperti ini amat digalakkan oleh Islam kerana terdapatnya unsur bantu membantu dalam kalangan mereka yang berada dan tidak berada. Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bantu membantu dalam perkara-perkara kebaikan dan takwa dan janganlah kamu sekali-kali bantu membantu dalam perkara-perkara kejahatan dan permusuhan.” (Surah Al Maidah : 2)

(4) Baginda dikenali ramai dengan sifat kejujurannya dan ketekunannya dalam bekerja. Keadaan ini menyebabkan peluang baginda untuk menjalankan perniagaan orang yang memerlukan bantuan adalah cerah.

(5) Rasulullah SAW bekerja sebagai saudagar hanya untuk memenuhi keperluan hidup Baginda dan bukan untuk menjadi jutawan kerana Baginda tidak pernah menunjukkan kecintaan terhadap kekayaan. Oleh itu Baginda menceburkan diri dalam perniagaan semata-mata untuk mencari rezeki yang halal dan memenuhi keperluan hidup seharian.

(6) Baginda sentiasa mengamalkan sikap baik hati dan lemah lembut ketika menjalankan perniagaan. Jabir telah meriwayatkan bahawa Rasulullah telah bersabda yang bermaksud: “ALLAH SWT mencucuri rahmat kepada orang yang berbuat baik ketika ia berjual, ketika ia membeli dan ketika ia membuat tuntutan.”



















Tiada ulasan:

Catat Ulasan