Gadai nyawa balik rumah
Tinjauan Sinar Harian di laluan itu mendapati kebanyakan pelajar terpaksa menggadai nyawa ketika melintas jalan terutamanya ketika waktu pulang sekolah di mana jalan terbabit menjadi pilihan pengguna kerana ianya dapat mengelakkan daripada melalui beberapa lampu isyarat.
Seorang pelajar, Muhammad Izzuddin Ishak, 17, berkata, dia juga bimbang dengan keselamatan diri dan rakan-rakannya semasa pulang dari sekolah terutamanya ketika jalan raya menjadi sibuk.
Menurutnya, jalan terbabit menjadi pilihan pengguna kerana ianya merupakan jalan alternatif ke pusat Bandar Arau selain Jalan Arau-Kodiang yang juga jalan utama untuk ke pusat bandar.
“Kalau boleh pihak yang bertanggungjawab perlu membesarkan jalan terbabit kerana jalan ini kalau kita lihat tidak mempunyai bahu jalan, jadi ianya menyukarkan ibu bapa untuk mengambil atau menghantar anak-anak.
“Boleh dikatakan setiap Jumaat pasti ada kesesakan yang teruk berlaku, kerana pelajar pulang awal dan lalu lintas pula mengejar masa untuk menunaikan solat Jumaat,” katanya kepada Sinar Harian.
Seorang lagi pelajar, Muhd Akmal Zainuddin, 17, berkata, bagi mengelakkan sebarang masalah timbul, langkah keselamatan lain perlu disediakan kerana jika dibiarkan ianya mungkin membahayakan pengguna jalan raya.
Katanya, kesedaran pengguna jalan juga memainkan peranan penting kerana mereka sepatutnya tidak boleh memandu laju terutamanya di kawasan sekolah.
Bagi Mohd Nabeel Mohd Idrus, 17, setiap hari dia akan datang awal ke sekolah bagi mengelakkan kesesakan di laluan itu kerana banyak pengguna menggunakan laluan berkenaan untuk pergi ke tempat kerja dan menghantar anak-anak ke sekolah.
“Selalunya sebelum jam 7.20 pagi, saya dan rakan-rakan akan tiba di sekolah bagi mengelakkan kami terpaksa berdepan dengan banyak kenderaan lain yang menyebabkan kami sukar melintas untuk memasuki sekolah.
“Kami perlu mengambil risiko ini memandangkan laluan ini agak sempit selain berhampiran dengan persimpangan lampu isyarat yang menghubungkan jalan utama ke bandar Arau,” katanya.
Sementara itu, seorang waris, Fatimah Omar, 40, berkata, dia juga bimbang untuk menggunakan laluan terbabit kerana banyak kenderaan yang melalui jalan itu.
Menurutnya, dengan keadaan jalan yang sempit sedikit sebanyak memberikan kesan terhadap jumlah kenderaan yang menggunakan laluan itu.
"Sebagai ibu, saya tidak menafikan bimbang dengan keselamatan anak, dan bagi memastikan anak selamat pulang, saya mengambil keputusan mengambil anak setiap kali pulang dari sekolah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan