Jumaat, 9 November 2012

20% Diskaun PTPTN


2,962 peminjam PTPTN buat bayaran balik penuh berikutan diskaun 20 peratus

KUALA LUMPUR: Seramai 2,962 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah membuat bayaran balik sepenuhnya berikutan tawaran diskaun 20 peratus yang diumumkan pada Belanjawan 2013 bagi tempoh 1 Okt hingga 30 Okt tahun ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Hou Kok Chung berkata jumlah pembayaran balik itu melibatkan pinjaman sebanyak RM15 juta.


"Daripada jumlah itu, seramai 191 peminjam adalah dalam kategori senarai hitam dengan bayaran balik berjumlah RM1.2 juta," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) yang ingin tahu mengenai sambutan peminjam PTPTN terhadap tawaran diskaun 20 peratus itu pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Ditanya mengenai jumlah peminjam yang menamatkan pengajian dengan keputusan kepujian kelas pertama dan layak mendapat pengecualian bagi pembayaran balik pinjaman, Dr Hou berkata kementerian mengenal pasti seramai 4,430 graduan yang tamat pengajian dari 2005 hingga 2009, layak untuk mendapat pengecualian itu.

Bagaimanapun, katanya, hanya 1,335 graduan yang membuat permohonan bagi pengecualian itu.

"Ini menunjukkan masih berbaki 3,095 peminjam yang layak mendapat pengecualian, belum membuat permohonan.

 Justeru saya mengambil kesempatan untuk menyeru kepada pelajar itu supaya menghubungi PTPTN untuk urusan seterusnya," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan asal Mohamed berhubung jumlah pecahan pelajar mengikut kaum yang berjaya menukar pinjaman PTPTN kepada biasiswa, Dr Hou berkata pelajar Cina mendapat manfaat paling tinggi iaitu seramai 9,598 peminjam dikecualikan untuk membuat pembayaran balik berikutan mencatatkan pencapaian akademik cemerlang.

Katanya jumlah tersebut diikuti graduan Melayu dengan 2,929 orang, India (506) dan baki 159 lagi terdiri daripada graduan pelbagai kaum. - Bernama




Tiada ulasan:

Catat Ulasan