Khamis, 8 November 2012

Agama - Isu Al Arqam


JAIS janji lebih agresif banteras usaha hidupkan Al-Arqam

Marzuki Husin menunjukan jemputan kenduri mega dan doa selamat yang bertemakan Abuya terus memimpin walaupun ghaib pada sidang media berkaitan isu 'Al-Arqam' di Shah Alam, semalam.
 
USAHA pengikut-pengikut Al-Arqam yang telah diharamkan terus memperingati bekas pemimpin mereka, Allahyarham Ashaari Muhammad dipercayai sebagai langkah terdesak kumpulan itu untuk menghidupkan semula pergerakan tersebut.

Langkah itu termasuk terus menonjolkan 'kewujudan' Ashaari melalui slogan terbaharu mereka Abuya Terus Memimpin Walaupun Ghaib sebagaimana disaksikan dalam program Kenduri Mega Doa Selamat sempena ulang tahun kelahiran ke-75 bekas pemimpin Al-Arqam itu di Bandar Country Homes, Rawang dekat sini hujung bulan lalu dan awal bulan ini.

Menurut Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), penonjolan imej Ashaari yang terus memimpin dilakukan kerana tindakan memberikan laluan kepada isteri Allahyarham, Khatijah Am atau Ummu Jah menjadi peneraju tidak memberi kesan dan menemui kegagalan. 

Ummu Jah juga kini masih terpaksa terus berada di luar negara.

Utusan Malaysia difahamkan, pada masa ini seolah-seolah berlaku perebutan dalam kalangan penggerak kumpulan yang cuba menghidupkan ajaran Al-Arqam untuk menerajui pergerakan itu.

Ekoran tiada tokoh yang boleh ditonjolkan, mereka terpaksa menggunakan nama Abuya untuk mengelakkan pergerakan itu berkubur.

Unit Dakyah, Penyelewengan dan Doktrinisasi JAIS juga dikatakan melakukan pemantauan berterusan terhadap pengikut Al-Arqam dan variasi serta versinya dari semasa ke semasa dengan tindakan agresif akan dilakukan.

Difahamkan JAIS juga kini melakukan pelan tindakan penguatkuasaan yang rapi terhadap kumpulan Syiah. 

''JAIS tidak akan tenang selagi dua kumpulan besar di luar arus perdana ini megah di luar sana dengan membelakangkan sumber hukum Islam, Ijmak dan Qias yang menjadi sumber teras Ahli Sunnah Wal Jamaah di Selangor khususnya dan Malaysia amnya," demikian menurut sumber mengenai laporan penguatkuasaan fatwa negeri Selangor tentang fahaman dan ajaran Al-Arqam dan Syarikat Rufaqa' Corporation Sdn. Bhd. (SRC).

Sementara itu, Pengarah JAIS, Datuk Marzuki Hussin dalam sidang akhbarnya di sini semalam berkata, pegangan bahawa Ashaari terus memimpin dalam keadaan ghaib adalah antara kesesatan terbaharu kumpulan terbabit.

''Memang ajaran Al-Arqam sudah difatwakan sesat. 

Kalau sudah meninggal dunia sudah pasti habis rohnya, jadi hendak keluar memimpin bagaimana mana?'' katanya. 

Beliau mengulas operasi penguatkuasaan program cubaan menghidupkan ajaran dan fahaman Al-Arqam di Dataran Global Ikhwan Celebration Mall, Rawang pada 30,31 Oktober dan 1 November lalu.

Dalam operasi pada 1 November lalu, JAIS menahan 16 individu di bawah Seksyen 12(c) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 termasuk Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Badrulamin Bahron.

Kesemua mereka telah dibebaskan dengan bon jaminan selepas sebutan kes di Mahkamah Syariah Gombak Barat di Kuang pada 2 November lalu dan hakim menetapkan 20 Disember ini sebagai tarikh perbicaraan kes tersebut.

Pergerakan Al-Arqam difatwakan haram pada 1995. Pengasasnya, Ashaari,72, meninggal dunia pada 13 Mei 2010 setelah mengalami jangkitan paru-paru dan jenazahnya dikebumikan di Kampung Pilin, Rembau, Negeri Sembilan.

Marzuki berkata, risikan Bahagian Penguatkuasa JAIS terhadap aktiviti yang dilakukan dalam program berkenaan mendapati wujudnya perbuatan yang boleh dikaitkan dengan fahaman dan pegangan Al-Arqam.

''Berlakunya terlalu banyak perbuatan oleh individu atau kumpulan yang dilihat memberikan kemudahan kepada kumpulan pengikut Al-Arqam dengan cara kerjasama dan menyempurnakan kehadiran mereka pada majlis tersebut," katanya.

Kata beliau, pihaknya sedang meneliti tindakan yang perlu diambil agar pihak berkuasa tempatan (PBT) juga turut memainkan peranan untuk tidak membenarkan program berkaitan usaha menghidupkan Al-Arqam di kawasan pentadbiran mereka seperti yang berlaku di Rawang tempoh hari.

Dalam pada itu, Marzuki turut mendedahkan bahawa pengikut Al-Arqam dikesan mewujudkan saluran televisyen online untuk mengembangkan ajaran Aurad Muhammadiah dan menghidupkan semula fahaman itu.

Saluran yang dibangunkan sejak 2010 itu boleh diakses melalui laman web http://nurmuhammad.tv/, dikenali sebagai televisyen Rasulullah, Sayyidi dan Abuya (TVRSA) dengan menggunakan motto Saluran roh suci dan seks suci Islam.

TVRSA bertujuan menyucikan semula roh manusia untuk kembali kepada Allah dan Rasul melalui hiburan yang melindungi pendidikan iman dan Islam, malah pengikut Al-Arqam menganggapnya satu-satunya saluran hiburan yang boleh mendidik roh manusia kepada iman dan Islam kerana isi kandungannya datang daripada Rasulullah, Imam Mahdi (Sayyidi) dan Putera Bani Tamim (Abuya).

Mengenai kenyataan Badrulamin yang mempertikaikan penahanannya, beliau berkata, pemimpin PKR itu disiasat kerana turut hadir dalam Majlis Kenduri Mega dan Doa Selamat sempena ulang tahun keputeraan ke-75 Abuya.

''Mereka yang hadir ke majlis itu boleh disyaki memberikan bantuan kepada kumpulan terbabit menghidupkan semula ajaran Al-Arqam," tegasnya.

Tambah beliau, ketika serbuan terbabit, JAIS turut merampas 'Buletin Nur Muhammad: Muhammad 2, buku Modul Poligami Indah dari Tuhan dan risalah tertulis Abuya terus memimpin walaupun ghaib.

Katanya, kandungan buletin tersebut juga didapati mempunyai unsur yang bercanggah dengan ajaran Islam apabila salah satu edisi keluarannya menyiarkan ilustrasi wajah empat sahabat Rasulullah iaitu Abu Bakar Al-Siddiq, Umar Al-Khattab, Usman Affan dan Ali Abu Talib.

Mengenai status Global Ikhwan sama ada perlu diharamkan sebagaimana SRC sebelum ini, beliau berkata, pihaknya akan meminta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengharamkan syarikat itu jika siasatan mendapati ia menjalankan perniagaan yang menyokong Al-Arqam.

''Kesemua 16 individu yang ditahan dalam operasi tersebut akan dibawa semula ke Mahkamah Syariah Gombak Barat, Kuang pada 20 Disember ini untuk menyambung semula perbicaraan," katanya.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan