Restoran hidang sup, sate buaya
Mau yg mana ....Sate atau sup...Buaya Makan Orang....Orang Makan Buaya Pula...ahaa
Taman Buaya Miri di sini, bukan sahaja memberi peluang kepada orang ramai melihat lebih dekat haiwan tersebut malah sebuah restoran di situ turut menghidangkan daging buaya untuk dinikmati pengunjung seisi keluarga.
Pekerja restoran taman buaya itu, Sunani Sulong, 53, berkata, daging buaya di situ dihidangkan melalui tiga cara iaitu sup, sate dan masak kicap dengan harga berpatutan.
"Kebanyakan pengunjung yang gemar memesan daging buaya adalah orang Cina dan Iban.
"Mereka makan daging buaya kerana ia dipercayai mampu menjadi penawar kepada penyakit-penyakit tertentu termasuk asma," katanya .
Jika dilihat pada rupa daging dan aroma sup yang seakan-akan sup ayam, pasti ramai pengunjung di taman itu tertarik untuk memesan hidangan eksotik tersebut sekiranya tidak dimaklumkan lebih awal ia adalah daging buaya.
"Memang ramai pengunjung yang berminat untuk merasa sup kami, tetapi membatalkan hasrat apabila diberitahu ia adalah daging buaya, bukannya ayam.
"Walaupun saya bekerja di sini sejak setahun lalu, saya sendiri pun tidak pernah mencubanya," ujar Sunani sambil memberitahu rata-rata pelanggan mendakwa daging buaya jauh lebih sedap berbanding daging ayam.
Seorang lagi pekerja, Abdul Muin Ramli berkata, selain memiliki lesen sah untuk beroperasi, Taman Buaya Miri juga merupakan satu-satunya premis di bandar raya ini mempunyai kebenaran daripada pihak berkuasa untuk memasak daging buaya.
Abdul Muin, 31, berkata, bekalan daging diambil dari empat kolam yang menempatkan kira-kira 100 ekor buaya di taman tersebut.
"Bahagian ekor dijual pada harga RM60 sekilogram, badan RM50 sekilogram manakala tulang RM20 sekilogram.
"Daging buaya sedap dimakan ketika haiwan tersebut berusia 10 tahun," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan