Rabu, 13 Jun 2012

07/06/2012





Afiz Mifzal Shukri melihat bapanya mengemaskan bahagian atas rumah mereka selepas bumbung rumah rosak teruk diterbangkan ribut di Kampung Sungai Bugis, Simpang Empat, Perlis, malam semalam.


KANGAR 7 Jun - Rumah seorang kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini adalah antara 108 buah rumah yang rosak akibat dipukul ribut di sekitar negeri ini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, sebanyak 21 buah rumah rosak di Kuala Perlis diikuti Sungai Padang (9), Sanglang (5), Simpang Empat (4) dan Beseri (2).
Menurut kakitangan JKM itu, Shukri Bakar, 47, kejadian berlaku semasa dia dan lapan ahli keluarganya bersiap-siap untuk tidur di rumah mereka di Kampung Sungai Bugis dekat sini.
Katanya, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan bunyi deruan angin yang seakan menggoncang rumah sebelum menerbangkan bumbung kediaman milik ibu mertuanya itu.
"Angin kencang bertiup sejak pagi lagi tapi tidak sangka pula bertukar menjadi ribut pada malamnya.
"Anak-anak saya yang masih kecil menangis ketakutan dan saya cuba mententeramkan mereka selain berdoa semoga Allah SWT menjauhkan keluarga kami dari segala bahaya," katanya ketika ditemui di rumahnya yang berusia 40 tahun itu hari ini.
Katanya, mujurlah kejadian itu tidak disusuli hujan lebat kerana jika tidak mungkin peralatan dan perabut rumahnya akan rosak.
Jurucakap JKM berkata, kesemua mangsa terlibat telah diberi bantuan berupa makanan dan selimut.
"Bancian telah dijalankan sehingga pagi ini dan setakat ini jumlah kerugian masih belum ditaksirkan," katanya sambil memberitahu, setakat ini tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan