Rabu, 20 Jun 2012

Pemidato Bukan Melayu


Bakat pemidato bukan Melayu akan digilap

20 Jun 2012 
 
KANGAR - Bukan Melayu yang berbakat sebagai pemidato akan digilap bakat mereka oleh Jabatan Penerangan bagi melahirkan kumpulan yang boleh membantu menjelaskan dasar dan pelbagai usaha murni kerajaan untuk rakyat.
  
Pengarah Jabatan Penerangan Perlis, Mohammad Lokman Mahmud hari ini berkata pertandingan akhir pidato bukan Melayu peringkat negeri Perlis hari ini memperlihatkan para peserta yang berbakat besar dan boleh diketengahkan.
  
Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan anjuran Jabatan Penerangan Perlis itu, beliau berkata para peserta hanya perlu melebarkan pengetahuan mereka mengenai negara.
  
Kebolehan mereka perlu dimanfaatkan kepada komuniti yang harus diberi kefahaman mengenai pelbagai perkara penting tentang kerajaan dan dasar-dasarnya, katanya.
  
Pelatih Kolej Jururawat Masyarakat Perlis, Flora Cynthia anak Jojim, 27, menjuarai pertandingan pidato itu dengan membawa tajuk `1Malaysia Teras Perpaduan'. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, plak dan sijil.
  
Peserta yang berasal dari Sarawak itu akan mewakili Perlis pada pertandingan pidato bukan Melayu peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur September ini.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan