Selasa, 19 Jun 2012

Perlis - Amar Rohidan

Disepak penyokong fanatik Indonesia


KANGAR:  Pemain tengah skuad Harimau Malaya, Amar Rozidan, 23, tergamam apabila disepak seorang penyokong fanatik Indonesia ketika memasuki pekarangan hotel di Jakarta, sejurus pasukan negara buat pertama kali menjuarai Piala AFF Suzuki 2010, baru-baru ini.

Amar berkata, selain dilempar kata-kata kesat, penyokong terbabit turut melontar beberapa objek keras termasuk pemetik api terhadap skuad kebangsaan walaupun pekarangan hotel yang menjadi tempat penginapan pemain dikawal ketat anggota keselamatan negara itu.





Katanya, puluhan penyokong fanatik Indonesia bertindak demikian kerana sukar menerima kekalahan pasukan kesayangan mereka kepada Malaysia dengan agregat 4-2 dan berada di pekarangan hotel untuk menunggu kepulangan pemain Malaysia dari Stadium Gelora Bung Karno, selepas perlawanan terbabit.

“Secara tiba-tiba salah seorang penyokong berkenaan bertindak menyepak paha saya dan saya tidak boleh berbuat apa-apa kerana keadaan ketika itu agak tegang manakala pasukan keselamatan mengarahkan kami segera memasuki hotel bagi mengelak perkara lebih buruk.

“Insiden terbabit menjadi pengalaman menarik bagi menutup tirai kalendar 2010 serta sepanjang empat tahun saya bersama skuad Harimau Malaya dan ia tidak akan dilupakan,” kata anak jati Perlis tunggal yang menyarung jersi kebangsaan ketika ditemui di rumahnya di Taman Emas, Bukit Keteri, dekat sini, petang kelmarin.

Terdahulu, keluarganya dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taman Emas mengadakan kenduri kesyukuran bagi menyambut kepulangan Amar yang dianggap wira serta mengharumkan nama Perlis.


Lebih 200 tetamu hadir pada majlis itu serta dihidangkan dengan pelbagai juadah menarik. Bapanya, Rozidan Rashid, 51, dan ibunya, Che Ah Mad Isa, 51, tidak menang tangan melayan tetamu pada majlis berkenaan.

Amar yang 15 kali beraksi di peringkat antarabangsa bersama skuad Harimau Malaya, kini bersiap sedia untuk menyarung jersi Kedah bagi menghadapi kejohanan Piala Malaysia 2011 selepas beberapa tahun bersama skuad Perlis.

Anak ketiga daripada empat beradik yang semuanya lelaki itu baru mengikat pertunangan dengan gadis pilihan, Farhana Ahmad, 23, seorang jururawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini. Pasangan terbabit dijangka melangsungkan perkahwinan pada Mac depan.

“Saya akan cuba meningkatkan mutu permainan supaya lebih mantap untuk menghadapi perlawanan kelayakan Sukan Olimpik di England. Perkahwinan nanti tidak akan menjejaskan karier bola sepak saya” katanya.

Sementara itu, Rozidan yang bertugas sebagai Penyelia Teknik di TM Malaysia di sini pula bertindak membotakkan kepala sebagai menunaikan nazar selepas skuad Harimau Malaya yang disertai anaknya itu menjuarai Piala Suzuki.

“Saya tunai nazar membotakkan kepala di sebuah kedai gunting rambut di Arau pada keesokan hari perlawanan (30 Disember 2010) dan saya berbangga dengan prestasi cemerlang Amar membantu pasukan untuk menjuarai kejohanan berprestij ini.

“Kami sekeluarga turut menonton perlawanan akhir menerusi televisyen di rumah dan saling berpelukan apabila wisel penamat ditiupkan pengadil bagi mengesahkan piala terbabit menjadi milik negara,” katanya.

Menurutnya, tindakannya membenarkan Amar memilih bidang bola sepak sebagai kerjaya tetap berbaloi berdasarkan kedudukan dan prestasi persembahannya sekarang.

Katanya, Amar pernah mendapat tawaran untuk memasuki politeknik sejurus keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan tetapi dia tetap memilih mengikuti latihan di akademi bola sepak negara.

“Saya sebelum ini berbelah bagi untuk membenarkan dia mengikuti latihan bola sepak tetapi kini bertambah yakin apabila melihat prestasi cemerlang serta menjadi skuad utama dalam pasukan negara,” katanya.



# Indon Fanatik Sangat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan