Rabu, 20 Jun 2012

Bomoh Rogol

15/06/2012

Bomoh dijel 15 tahun rogol gadis

KOTA BHARU 14 Jun - Sebagai seorang bomoh, khidmat Norazanni Nordin (gambar) diperlukan oleh sebuah keluarga untuk merawat anak perempuan mereka yang ketika itu meracau dan mengalami masalah kemurungan.

Namun ketika keluarga berkenaan menaruh harapan kepadanya, lelaki itu sebaliknya mengambil kesempatan merogol mangsa yang berumur 19 tahun semasa 'merawatnya' di dalam sebuah bilik.

Tindakan Norazanni, 31, dari Sungai Petani, Kedah, akhirnya terbalas apabila dia dihukum penjara 15 tahun dan sebatan 10 kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Azman Musthapa menjatuhkan hukuman tersebut selepas bekas anggota tentera itu didapati bersalah merogol mangsa di dalam bilik di rumah mangsa di Machang kira-kira pukul 9.30 malam, 18 Mac tahun lalu.

Menurut fakta kes, Norazanni telah dipanggil oleh keluarga mangsa ke rumah mereka bagi merawat remaja itu yang mengalami kemurungan dan meracau-racau sebelum mangsa dibawa masuk ke dalam bilik untuk 'dirawat' tertuduh sambil keluarganya berada di luar bilik.

"Saya berpuas hati bahawa elemen kesalahan berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwa. Semasa perbicaraan, tertuduh mengakui telah berlaku hubungan seks namun membangkitkan isu kerelaan apabila mendakwa ia berlaku atas desakan mangsa.

"Dalam hal ini, saya menilai adakah keadaan mangsa yang sedang bercelaru, meracau dan tidak sedar itu mempunyai minda yang aktif untuk merayu supaya tertuduh melakukan hubungan seks dengannya," kata Azman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan