Urusan jual beli dadah gagal
Komander UPP Perlis, Deputi Superitendan Zakaria Abdul Rahman berkata, ketika pihaknya yang diketuai Komander Kawasan UPP Kuala Perlis, Inspektor Azizan Saman sedang menjalankan rondaan di kawasan pesisiran pantai Kampung Pulau Ketam, Batu Putih di sini kira-kira jam 3.40 pagi semalam, anggotanya terlihat seorang lelaki melarikan diri ke hutan paya berhampiran.
Menurutnya, hasil pemeriksaan pihaknya menemui satu beg sandang berwarna hitam yang kemudiannya dibawa ke UPP Kuala Perlis untuk siasatan lanjut.
“Kita berjaya menjumpai 172 keping wang kertas RM100 bernilai RM17,200 disyaki wang palsu. Turut ditemui, peralatan menghisap dadah, satu ketulan kecil yang disyaki ganja serta dua peket kecil serbuk juga dipercayai dadah,” katanya semasa sidang media di Pejabat UPP Kuala Perlis, petang semalam.
Zakaria berkata, lelaki terbabit dipercayai menggunakan wang palsu itu untuk berurus niaga dadah dan jika dilihat dengan mata kasar orang ramai sudah pasti tidak dapat membezakan sama ada wang terbabit wang palsu atau sebaliknya.
Menurutnya, kes itu diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di bawah Seksyen 489 AKanun Keseksaan kerana menyimpan wang yang disyaki palsu.
“Rondaan kerap dijalankan di kawasan terbabit kerana ia sering menjadi tempat berlakunya aktiviti penyeludupan. Kes ini merupakan kes pertama kali untuk tahun ini yang melibatkan wang palsu dan membabitkan jumlah wang tertinggi setakat ini,” katanya.
Sementara itu, Zakaria turut mengulas mengenai cubaan menyeludup minyak diesel oleh sebuah lori di sebuah stesen minyak di Repoh Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, sebuah lori dipercayai mengisi minyak bernilai RM1,000 yang jumlahnya lebih kurang 600 liter dan setelah anggota UPP membuat rondaan pemandunya melarikan diri.
Di samping itu, UPP Padang Besar juga berjaya menahan sebuah kenderaan dari Thailand yang cuba menyeludup 1,000 liter minyak petrol ke negara jiran di kawasan laluan kereta api kira-kira jam 9 pagi, semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan