Bangunkan Perlis
TUANKU Syed Sirajuddin Putra Jamalullail memotong kek keputeraan baginda bersama Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid pada Santapan Malam Perlis 2012 di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur, kelmarin. Turut serta, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tiga dari kiri) dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil (empat, kanan) dan Md. Isa Sabu (dua dari kiri). - utusan/aswad yahya
Titah baginda, sekalipun pelbagai pembangunan sosioekonomi berimpak tinggi telah dan sedang dirancang oleh kerajaan negeri, namun sumbangan anak Perlis untuk merealisasikan matlamat itu amat dihargai.
Baginda percaya, melalui bantuan anak Perlis daripada pelbagai sudut akan membantu negeri itu secara jangka panjang sambil memberi kesan positif buat Malaysia sendiri.
Baginda bertitah demikian pada majlis Santapan Malam Perlis 2012 anjuran Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) di Dewan Perdana Felda, di sini semalam.
Turut berangkat, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut
hadir Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu.
Majlis itu dihadiri oleh 750 anak-anak Perlis dan ahli PPKL yang bermastautin di Lembah Klang yang diketuai oleh Yang Dipertua PPKL, Datuk Faridah Khalid.
Raja Perlis turut menyatakan kebanggaan baginda setelah PPKL berjaya menarik 300 ahli baru dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
"Beta berharap, anak-anak Perlis yang berkhidmat di luar Perlis dapat mengekalkan budaya kerap pulang ke kampung menjengah ibu bapa, keluarga dan sahabat-handai.
"Pada masa sama dapat juga melihat perubahan yang berlaku di Perlis dan sama-samalah pula membantu menjayakan misi Perlis menjadi negeri maju seperti mana yang dihasratkan oleh kerajaan melalui sumbangan idea dan pelaburan," titah baginda dengan penuh harapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan