Amuk di JPM: Ayah dakwa anaknya 'gila Internet'
10 Julai 2012
Demikian kata Ahmad Adam, 55, ayah Muhdalina, 28, yang ditembak polis ekoran kejadian amuk di Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, semalam.
Menurutnya, suspek merupakan anak kedua dari empat beradik seorang yang peramah dan baik, malah sebelum ini bekerja sebagai penolong pengurus sebuah syarikat di Pelabuhan Utara, Klang sebelum berhenti hujung bulan lalu.
“Saya tidak sangka perkenalan Muhdalina dengan Khalil Afandi telah
menyebabkan anaknya itu terjebak dengan perkara yang tidak masuk akal
seumpama itu.
“Saya percaya ini ekoran sikapnya yang ‘Gila Internet’ malah kami
sendiri tidak pernah mengenali Khalil Afandi dan hanya kenal dia dari
surat akhbar hari ini malah percaya Muhdalina hanya mengenali lelaki
tersebut melalui internet sahaja,” katanya ketika ditemui di pekarangan
Hospital Putrajaya, semalam.
Ahmad berkata, tiada sikap mencurigakan mengenai Ina melainkan dua hari
sebelum kejadian dia menghantar dua anaknya ke rumah dan memaklumkan
ada urusan untuk dua ke tiga hari malah, "kami tidak mengesyaki
apa-apa."
“Dia tinggal bersama suami yang bekerja sebagai pemandu di syarikat
yang sama di Rantau Panjang, Klang banyak menghabiskan masa dengan
melayari Internet dan bukan dikategorikan sebagai seorang yang memiliki
pengetahuan agama tinggi,” katanya.
Ahmad yang datang bersama isteri, Siti Marliah Marjunit, 55, dua anak
Muhdalina, Mohd Farish Khorizmi Yusof , 2, dan Mia Ratisya Yusof, 1,
dengan ditemani anak sulungnya Ariffin.
Bagaimanapun tidak dapat melawat Muhdalina.
Ahmad yang juga seorang peniaga nasi lemak berkata, anggota polis yang
mengawal Muhdalina memberikan alasan anaknya masih belum diambil
keterangan dan tidak dibenarkan menerima pelawat.
“Kami sekeluarga amat terkejut dengan kejadian yang berlaku kerana dia
seorang anak yang baik, peramah dan tidak pernah menimbulkan masalah
kepada keluarga, malah dia juga berkelulusan Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Menurut Ahmad, dia hanya mengetahui kejadian menimpa Muhdalina setelah
dimaklumkan oleh anak sulung yang terbaca mengenai perkara itu di
Internet kira-kira jam 5 petang (semalam) dan menyangka hanya rusuhan
biasa
“Saya terus menghubungi telefon bimbit Muhdalina sebelum dijawab
seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis.
“Setelah dimaklumkan situasi Muhdalina oleh pegawai polis berkenaan,
saya terus bergegas datang ke Hospital Putrajaya, namun gagal
menemuinya, selepas itu saya ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Putrajaya untuk
mengetahui hal sebenar," katanya lagi.
Ahmad memaklumkan dia akan ke IPD Putrajaya untuk memohon kebenaran bagi melawat anaknya.
Difahamkan, Muhdalina sudah menjalani pembedahan bagi mengeluarkan peluru di kakinya dan keadaannya dilaporkan stabil.
Sementara itu, suami Muhdalina yang hanya dikenali sebagai Yusof
berkata, dia yakin isterinya itu terlalu taksub dengan Khalil Afandi
walaupun hanya mengenali lelaki itu melalui laman blog seminggu lalu.
Dia yang datang ke Hospital Putrajaya dengan ditemani seorang rakan
hanya datang menyerahkan pakaian dan barang-barang keperluan isterinya
kepada anggota polis yang berkawal.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang kelmarin, Muhdalina
ditembak oleh anggota Unit Kereta Peronda (MPV) IPD Putrajaya selepas
mengamuk bersama Khalil Afandi yang bersenjatakan pedang samurai, pisau
lipat dan keris.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan