Rabu, 11 Julai 2012

Amuk di JPM


Jakim 'buru' kumpulan suspek amuk

10 Julai 2012

Amuk di JPM
 
KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diarah mengesan kumpulan yang dianggotai seorang lelaki dan seorang wanita yang mengamuk di luar perkarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata Jakim juga diminta meneliti sama ada kumpulan itu berkaitan dengan agama atau ajaran lain.

"Saya akan periksa dengan Jakim.

Adakah kumpulan itu bersifat keagamaan?," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perasmian sambutan 20 Tahun Penubuhan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di Kompleks IKIM di sini, hari ini.

Beliau mengulas kejadian amuk oleh Khalil Afandi Hamid, 47, yang mendakwa dirinya Imam Mahadi, dan seorang wanita berusia 28 tahun.

"Jakim akan mengambil perhatian perkara ini.

Ini bukan hanya soal Imam Mahadi sahaja, tapi ini soal keselamatan JPM," katanya.

Jamil Khir juga berkata semua jabatan kerajaan perlu meningkatkan tahap keselamatan masing-masing supaya keselamatan pekerja dan pelawat terjamin.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata polis akan menyiasat sama ada dua suspek itu menganggotai kumpulan ajaran sesat.

Khalil Afandi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari manakala wanita itu terkena tembakan di paha kanan dan dirawat di hospital sama.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata, kegiatan ajaran sesat perlu dibanteras segera untuk mengelaknya daripada menular dalam masyarakat.

Sambil menyifatkannya sebagai berbahaya, beliau menyarankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya sentiasa memantau laman sesawang tertentu untuk mengenalpasti ajaran yang pelik dan songsang.

"Kita berharap pihak-pihak tertentu dapat membanteras gejala ini selain meneliti ajaran yang diikuti lelaki itu.

 Gejala seumpama ini berbahaya.

"Selain itu, keselamatan pemimpin kita yang suka turun padang juga perlu sentiasa dipastikan," katanya. - Bernama

Berita Nightline TV3 polis beritahu menembak sebanyak 3 das kearah mangsa.....serta menyifatkan sebagai kes biasa.


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan