Sabtu, 7 Julai 2012

Lena Asmara


Lena asmara tidak panjang


Ahmad Nawi mengejutkan pasangan terbabit yang lena tidur.
 
AMPANG - Sepasang kekasih yang sedang lena tidur di dalam sebuah bilik di sebuah rumah kedai, di sini, terkejut dengan kehadiran penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Pegawai Masjid Al-Azim dalam serbuan di kediaman berkenaan, awal pagi semalam.

Pasangan yang bekerja di sebuah hotel di ibu kota itu ditahan dalam serbuan kira-kira jam 1.30 pagi setelah penguat kuasa menerima aduan mengenai pasangan tersebut di rumah itu sehingga menimbulkan keraguan penduduk.

Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Othman berkata, ketika ditahan lelaki itu memberi alasan dia terpaksa mengikut teman wanitanya pulang ke rumah itu kerana keretanya rosak.

"Lelaki berkenaan turut memberi alasan tidak dapat pulang ke rumahnya di Kajang kerana tiada pengangkutan awam dan dia perlu hadir di tempat kerja pada awal pagi.

"Difahamkan bilik sewa itu milik rakan mereka dan rakannya tidak mengetahui kehadiran pasangan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, ketika penguat kuasa mengetuk pintu bilik tidur pasangan terbabit, seorang perempuan berbaju dan berseluar pendek membuka pintu.

“Pemeriksaan lanjut menemui seorang lelaki hanya memakai seluar pendek sedang nyenyak dalam keadaan tertiarap atas katil,” katanya.

Ahmad Nawi berkata, pasangan itu kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.

“Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Balai Daerah Ampang untuk dibuat laporan tangkapan sebelum siasatan lanjut,” katanya.

Operasi dijalankan mengikut Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan