Khamis, 12 Julai 2012

Mangsa Sedia Maafkan


Mangsa simbah asid: 'Kami sedia maafkan dia'

12 Julai 2012

Muhamad Hanif selepas kejadian.
 
BERSERI – “Kami sedia maafkan individu yang terlibat dalam kes simbah asid ke atas anak lelaki bongsu kami dengan syarat individu terbabit tampil berjumpa saya, isteri dan Hanif," luahan bapa kepada mangsa simbah asid, Muhamad Hanif Sunaid @ Shuib, 26 tahun.

Sunaid@Shuib Mat, 65, berkata, dia sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi dan sudi memaafkan individu yang bertindak menyimbah asid ke muka anaknya.

Menurutnya, jika individu terbabit tampil berjumpa dengan mereka sekeluarga, dia sanggup menutup kes terbabit dengan izin mangsa.

“Hanif sendiri pernah memaklumkan saya bahawa dia reda dengan apa yang berlaku, dia juga akan memaafkan individu terbabit asalkan datang berjumpa.

“Lagipun dia sudah mendaftarkan diri untuk menunaikan ibadah haji bersama saya dan isteri. Jadi dengan memaafkan individu terbabit, dia (Hanif) lebih lega dan selesa.

Malah kami juga sanggup menutup kes terbabit, kerana perkara sudah berlaku,” katanya di rumahnya di sini, semalam.

Sunaid berkata, kini Hanif sudah dapat menerima takdir bahawa dia tidak dapat melihat seperti insan normal lain setelah tragedi hitam yang berlaku pada 13 Mei tahun lalu.

Bagaimanapun, sebagai bapa, dia sebak melihat anak yang dahulunya lahir normal, kini hilang keupayaan melihat.

Namun, sebagai bapa Sunaid tertanya-tanya perkembangan kes anaknya itu yang kini menyepi se-telah setahun berlalu tanpa sebarang maklum balas dari pihak yang bertanggungjawab.

Terdahulu, seorang pemandu lori, Muhamad Hanif Sunaid@ Shuib melecur 50 peratus pada muka dan sebahagian pinggang apabila didakwa disimbah asid oleh individu yang tidak dikenali kira-kira jam 1 pagi 13 Mei 2011 di rumahnya Kampung Sentang, Utan Aji.

Dalam kejadian itu, Muhamad Hanif baru pulang dari bekerja sebelum didatangi lelaki tidak dikenali yang memberi salam sambil mengetuk pintu.

Setelah pintu dibuka, individu terbabit  didakwa menyembah asid kepada mangsa.


 BESERI? Kg Sentang , Utan Aji


Tiada ulasan:

Catat Ulasan