Bukan niat hendak jual anak
9 Julai 2012
Ibu kepada dua anak yang ingin dikenali sebagai Na berkata, dia yang ketika itu menghadapi masalah kewangan kerana suami yang tidak dapat bekerja akibat sakit jantung membuatkan dia berniat untuk menyerahkan anak di dalam kandungannya kepada sepasang suami isteri di Kedah.
Menurutnya, dengan kos perubatan dan sara hidup mereka sekeluarga, Na mengambil keputusan terbabit setelah sepasang suami isteri dari Sungai Petani, Kedah datang berjumpanya dengan tujuan ingin mengambil anak yang bakal dilahirkannya untuk dibesarkan.
“Saya berniat memberikan anak yang di dalam kandungan saya kepada mereka, saya berharap mereka dapat menjaganya seperti anak mereka sendiri dengan memberi didikan agama dan pelajaran yang cukup.
“Namun hati ibu mana yang sanggup memberikan anak yang dikandungkan selama sembilan bulan kepada keluarga lain setelah bersambung nyawa melahirkannya?,” katanya .
Na berkata, pasangan terbabit memberinya wang sebagai perbelanjaan harian dan menerima wang itu bagi menampung keperluan harian keluarganya.
Katanya, dia mengakui menerima wang daripada pasangan terbabit, namun ada sebahagian penduduk kampung menganggap dia dan suami ingin menjual anak yang dikandungkannya.
“Kini, suami saya baru sihat dan mula bekerja, tujuan saya memberikan anak kepada pasangan terbabit kerana saya berharap mereka memberikan kasih sayang dan menjaga anak saya dengan baik, itu sahaja.
Lagipun, saya dimaklumkan bahawa pasangan terbabit tidak mempunyai cahaya mata walaupun mereka sudah berkahwin selama 15 tahun.
“Saya tidak pernah berniat untuk menjual anak saya.
Namun, kini saya serba salah untuk menyerahkannya kerana dengan pendapatan suami yang tidak menentu, saya bimbang kami tidak dapat memberikan yang terbaik kepada anak-anak kami nanti,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan