Rabu, 11 Julai 2012

Dakwaan Tidak Berasas


Dakwaan DAP tanding 90 kerusi Parlimen tak berasas

10 Julai 2012



ALOR SETAR - Dakwaan DAP bakal bertanding 90 kawasan Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) adalah tidak rasional dan sengaja dibangkitkan pihak tertentu dalam usaha menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang Melayu.

Pengerusi DAP Kedah/ Perlis, Lee Guan Aik percaya laporan tidak berasas seperti itu dibangkitkan menjelang PRU13 bagi menakut-nakutkan orang Melayu kononnya DAP akan menguasai Putrajaya, seterusnya melantik Perdana Menteri dari kalangan pemimpin DAP.

“Secara rasionalnya, DAP hanya layak bertanding paling banyak pun sekitar lebih 50 kerusi Parlimen, tak mungkin boleh cecah hingga 90 kawasan. Berdasarkan persefahaman sebelum ini, Pas akan bertanding lebih banyak kerusi, mungkin lebih 60 kawasan manakala selebihnya milik PKR,” katanya ketika dihubungi.

Guan Aik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Darul Aman berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan sebuah akhbar yang memetik pendedahan itu menerusi sebuah blog propembangkang, suarapakatanrakyat.com.

Menurutnya, laporan itu boleh dipertikai kerana pengagihan kerusi antara rakan pakatan masih belum selesai sehingga kini.

“Kita tidak boleh percaya laporan daripada blog 100 peratus, jika benar dari blog propembangkang, dibimbangi diputar belit pihak tertentu. Seeloknya semua pihak tunggu keputusan rasmi agihan kerusi yang akan diumumkan Sekretariat PR,” katanya.

Guan Aik berkata, isu terbabit sengaja diperbesarkan supaya timbul kebencian orang Melayu terhadap DAP, yang digambarkan seolah rakus kuasa.

“DAP hanya akan diberi mandat wakili 1/3 jumlah kerusi dipertandingkan PR, di kawasan campuran atau majoriti Cina. Tak mungkin boleh ambil 2/3 kuota kerusi,” katanya.

Menurutnya, walaupun pelbagai dakwaan ditimbulkan untuk memburuk-burukkan imej PR termasuk isu terbaru skandal membabitkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tidak memberi kesan besar terhadap pengundi.

“Saya yakin pengaruh PR di negeri dikuasai PR tidak terjejas walaupun BN mainkan beberapa isu kebelakangan ini. Isu Bersih-Ambiga dan skandal DAP sebaliknya memberi kesan positif apabila pengundi Cina dan India kembali menyokong PR,” katanya.










Tiada ulasan:

Catat Ulasan