Isnin, 18 Februari 2013

Produk Halal



Lebih banyak produk halal Perlis berpeluang tembusi pasaran luar


KANGAR - Lebih banyak produk halal Perlis, terutama makanan, berpeluang menembusi pasaran luar negara jika pengeluar dan usahawan berjiwa besar, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Industri Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Razlan Putra Jamalullail.
  
Beliau berkata, walaupun Perlis sebuah negeri kecil, namun ia tidak menghalang produk negeri ini berkembang dan dijual di pasaran luar negara jika semua pengeluar dan usahawan tidak hanya memikirkan pasaran tempatan yang bersakala kecil.
  
Berucap merasmikan seminar Produk Halal ke Brunei Darussalam anjuran Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Perlis di sini malam tadi, beliau yakin melalui rangkaian hubungan niaga usahawan tempatan dan luar negara, hasrat itu boleh direalisasikan.
  
Sebagai contoh, Syed Razlan yang juga penaung DPIM Perlis berkata banyak produk Perlis seperti buah-buahan dan makanan mendapat pasaran di luar negara, termasuk Jepun, China dan Brunei Darussalam.
  
Beliau berkata, produk negara ini, termasuk dari Perlis, tidak menghadapi masalah dalam pasaran dunia berikutan penduduk dunia mula mahukan produk halal.
  
Untuk itu, para pengeluar dan usahawan perlu mengutamakan kualiti dan persembahan bagi memastikan produk itu mendapat tempat di hati pelanggan luar negara, katanya.
  
Mengenai seminar itu, Syed Razlan berkata, ia juga bertujuan menemukan para pengeluar dan usahawan tempatan dengan pengimport dan pengedar produk terkemuka
Brunei Darussalam iaitu Syarikat Perniagaan Malar Setia (SPMS).
  
Sempena seminar itu, tiga syarikat Perlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan SPMS iaitu syarikat pengeluar minuman Frutania Industri Sdn Bhd, pengeluar roti Muneera Marketing Sdn Bhd dan Al-Tasneem Sdn Bhd yang merupakan pengeluar produk burung walit.
   

Sementara itu, Pengarah Urusan SPMS Abdul Rahman Metasim berkata, 80 peratus daripada kira-kira 400,000 penduduk Brunei Darussalam beragama Islam dan mereka mahukan produk halal.
  
Beliau berharap tiga syarikat yang menandatangani MoU itu akan memperkenal produk masing-masing dalam pasaran Brunei Darussalam dalam tempoh terdekat.
  
SPMS yang beroperasi sejak 1987 ialah antara syarikat pengimport dan pengedar utama di Brunei Darussalam dan yakin produk dari negeri Perlis akan mendapat sambutan menggalakkan jika memenuhi cita rasa pengguna.
  
Turut hadir Pemangku Pengerusi DPIM Perlis Sharuddin Hussin.











Tiada ulasan:

Catat Ulasan