Selasa, 19 Februari 2013

Apa Dah Jadi?


Shahidan tetap tidak selamat




  
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tetap akan membicarakan kes membabitkan Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim (gambar).



Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad menegaskan, tindakan Shahidan melepaskan dua jawatan kecil yang disandangnya dalam FAM masih tidak dapat menyelamatkan bekas Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) itu daripada dibicarakan.

Pada 2 Februari lalu, Shahidan melepaskan jawatannya sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Kewangan Dan Pengurusan dan AJK Bola Sepak Wanita FAM.

Shahidan berbuat demikian sehari selepas selepas menerima surat mengandungi tiga pertuduhan mengikut Artikel 88 Statut FAM yang ditandatangani Azzuddin.

Bagi pertuduhan pertama, Shahidan berdepan tindakan amaran keras, denda maksimum RM50,000 serta hukuman lain yang ditentukan Jawatankuasa Tatatertib mengikut Kod Tatatertib FAM kerana membuat kenyataan kepada media berkaitan hal ehwal pentadbiran FAM tanpa kebenaran mengikut Artikel 88 Statut FAM.

Untuk pertuduhan kedua, Shahidan berdepan tindakan gantung keahlian minimum dua tahun dan denda maksimum RM10,000 susulan penyiaran artikel sama dengan mempunyai niat menghina atau mengaibkan, menjatuhkan atau mencemar imej mana-mana pegawai FAM.

Bagi pertuduhan ketiga, Shahidan berdepan hukuman gantung keahlian enam bulan dan denda RM8,000 kerana didakwa membuat kenyataan bercanggah, mempertikaikan, mempersoalkan atau fakta yang diberikan tidak tepat atau bercanggah atau salah dengan mana-mana keputusan badan persatuan mengikut Artikel 20 Statut FAM 2010-2014.

“FAM telah menghantar surat pertuduhan pada 1 Februari lalu dan memberikan tempoh sehingga 8 Februari untuk beliau (Shahidan) menjawab pertuduhan yang dikenakan ke atasnya..
“Namun, beliau membalas surat pertuduhan itu dengan mengaku tidak bersalah lewat sehari selepas masa yang ditetapkan oleh FAM.

“Jadi, beliau tidak akan terlepas daripada perbicaraan kes tatatertib yang mana ia akan dijalankan minggu ini,” kata Azzuddin .

 Terdahulu, Shahidan menyifatkan tindakannya melepaskan jawatan dalam FAM dilihat sebagai langkah terbaik untuk mengelakkan dirinya daripada dikenakan sebarang tindakan disiplin oleh badan induk itu.

Dalam perkembangan lain, Azzuddin turut melahirkan rasa kesal dengan segelintir pihak yang masih menuding jari terhadap kewibawaan FAM ekoran insiden pergaduhan pemain Selangor dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Shah Alam pada 25 Januari lalu.

“Mengapa tuding jari kepada FAM mengenai kes Selangor dan ATM sahaja sedangkan kes insiden penyokong baling mercun dan botol di Terengganu dan Kelantan (pada pertengahan Januari lalu), mengapa mereka tidak bising?

“Dakwaan yang menyatakan FAM melambatkan proses perbicaraan itu (kes pergaduhan pemain Selangor dan ATM) disebabkan kepentingan (Naib Presiden FAM dan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor) Datuk Hamidin (Mohd. Amin) cukup tidak berasas.

“Pihak kami tetap menjalankan prosedur dengan profesional dan berusaha mencari jalan dengan memutuskan hukuman berdasarkan bukti kukuh, bukan secara politik,” katanya.




The Real MB of Perlis













Tiada ulasan:

Catat Ulasan