Selasa, 26 Februari 2013

MCA ke PKR


Jui Meng: PR optimis akan buat kejutan di Johor
NORSHAHZURA MAT ZUKI & HASLINA KAMALUDIN FOTO: SAFWAN MANSOR

Datuk Chua Jui Meng
Datuk Chua Jui Meng
 
WALAUPUN bekas Naib Presiden MCA, Datuk Chua Jui Meng kini bersama PKR, perjuangannya tetap sama untuk membela hak rakyat pelbagai bangsa di seluruh negara dan khususnya di Johor.

Kekangan dan masalah dalaman parti dianggap asam garam dunia politik tidak mematahkan semangatnya untuk membantu rakyat.


 Ikuti temu bual Pengerusi PKR Johor ini bersama NORSHAHZURA MAT ZUKI dan HASLINA KAMALUDIN serta jurukamera, SAFWAN MANSOR.


Sebagai permulaan, bagaimana Datuk melihat gerak kerja PKR Johor dalam usaha untuk menawan seberapa banyak kerusi di Johor? 

Pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12), PKR memperoleh sifar kerusi di Johor, pada masa itu organisasi kita (PKR) tidak cukup kuat. Selepas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta saya masuk Johor jadi Pengerusi PKR Johor, saya bekerja bertungkus-lumus untuk memastikan kita dapat lebih kerusi berbanding pilihan raya lalu. Kita bermula dengan sifar, tetapi sasaran kita hari ini lebih daripada itu.


Beberapa sasaran PKR?

Analisis yang dilakukan, seluruh kerusi Parlimen Johor mempunyai 26 kerusi. Pada PRU12, satu sahaja kerusi iaitu Parlimen Bakri dimenangi Pakatan Rakyat (PR) yang lain kekal kubu Umno dan MCA. Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) berbeza dengan PRU12.

Sekarang kita dapat jawapan iaitu pada PRU13, saya menganggarkan, PKR boleh mendapat lapan hingga 14 kerusi Parlimen.


Bagaimana Datuk melihat peluang PKR dalam saingan Pusat secara keseluruhannya pada PRU13?

Kita sudah dapat berita dalaman, Umno terdesak di Johor. Mereka sendiri kata sekurang- kurangnya 10 kerusi Parlimen tidak masuk senarai, tidak baik kepada Barisan Nasional (BN).

Kenapa ini berlaku? Pertamanya, usaha ketiga- tiga parti dalam PR (PAS , DAP dan PKR) sejak pilihan raya lalu. Keduanya, karakter kerusi-kerusi Parlimen yang sekarang kita warisi di Johor, kita nak faham kenapa selama ini Umno jadi benteng Umno dan MCA.

Pilihan raya pada 1999, pembangkang menang banyak kerusi walaupun Melayu tidak berpuas hati dengan cara Dr Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) kendalikan kes Anwar sehingga dia dibelasah teruk. Tun Mahathir telah mengambil satu pendekatan iaitu kalau kerusi majoriti tinggi Melayu, maka tidak selamat bagi Umno.

Oleh itu,  berdasarkan analisis itu, ini tidak ganjil kerana pilihan raya pada 1999, 60 peratus Melayu sokong pembangkang dan lari daripada Umno. Masyarakat Cina selamatkan Tun Mahathir dan BN. Majoriti besar masyarakat Cina sokong BN.

Tun Mahathir membuat persempadanan semula kerusi- kerusi di seluruh negara. Johor mempunyai 20 kerusi ditambahkan kepada enam kerusi menjadikan negeri itu mempunyai 26 kerusi.

Jika kita ambil majoriti bangsa, 50 peratus ke atas satu bangsa, Johor ada 16 kerusi parlimen yang disifatkan kerusi campuran. Kalau kita ambil 55 peratus satu bangsa, maka 18 kerusi Parlimen campuran. Ini yang kita warisi daripada pilihan raya 1999 mewujudkan Umno pada masa itu.

Sekarang kita mewarisi persempadanan yang dibuat Tun Mahathir. Ia baik sehingga PRU12 untuk BN tetapi hari ini ia menjadi ancaman kepada BN di Johor.

Saya membuat analisis, pemetaan politik Johor, kita nak tumpukan kawasan tertentu dan sekarang kita ada harapan termasuk kawasan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein iaitu Parlimen Sembrong, Parlimen Ledang serta kawasan yang diketuai oleh Datuk Seri Abdul Ghani Othman. Banyak kerusi pemimpin Umno terancam. MCA lagi teruk dalam keadaan sekarang.


Berapa peratus sokongan Melayu?

Walaupun masyarakat India aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO), saya minta boleh kasi 50 (sokongan)? Mereka menyatakan bukan 50 sahaja tetapi lebih kerana, kita faham hati masyarakat India yang dipinggirkan begitu lama dalam negara sendiri.

Antaranya kewarganegaraan, wang kebajikan tidak disampaikan kepada masyarakat India yang miskin dan mereka dipinggirkan kerana warna kulit dan keagamaan.

Sebelum ini mereka menyokong BN tetapi sekarang menukar pendirian untuk menuntut keadilan bagi masyarakat Tamil di Johor dan seluruh negara. Mereka sedar kenapa dipinggirkan selama 55 tahun.


Semua pemimpin PR yakin akan menang besar dalam PRU13. Adakah ia satu keyakinan realistik atau cakap-cakap sahaja?

Contohnya, saya buat ujian iaitu hari turun padang dengan anggota PKR ke seluruh kawasan di Gelang Patah yang mempunyai Cina, India dan Melayu. Saya pergi pejabat dan memberikan limau. Masyarakat Cina berkata jangan bimbang, kali ini tukar. Setiap masyarakat India yang saya jumpa, 70 peratus yang berani cakap ‘ya kali ini kita tukar’.

Orang Melayu yang ditemui di pasar malam bersama masyarakat Cina dan India berjabat tangan dengan saya sejumlah 20,000 rakyat di sana. Selalunya Melayu akan simpan sahaja, tetapi kali ini saya gembira kerana mereka juga menyatakan kepada saya supaya jangan bimbang dan menyokong saya.

Mereka mahu berubah.
Sebelum ini, segelintir masyarakat Melayu dan Cina serta India tidak akan menerima risalah yang kita berikan dan itu menunjukkan mereka menyokong Umno dan MCA. Itu hanya dua peratus.

Mereka masih mengenali saya sebagai mantan Menteri Kesihatan. Ujian ini menunjukkan sejauh mana benar- benar mereka mahu perubahan. Saya tidak boleh bayangkan ramai memberikan sokongan secara terbuka kepada saya.

Ujian ini mendalam dan luas, lima hari di sana saya bersama penduduk di pasar raya, tempat awam dan tempat berkumpul serta kedai kopi, saya berjumpa mereka dan mendekati mereka.


Adakah ini perubahan drastik dan Melayu sudah semakin terbuka?

Ini perubahan yang drastik sehingga anggota kita yang pernah bertugas dalam pilihan raya, kagum dengan perubahan ini.


Adakah empat tahun lepas, tidak nampak perubahan ini?

Tidak nampak. Saya masuk sebagai pemimpin, ketika itu PKR masih lemah. Sama ada ini boleh diterjemahkan dalam bentuk undi? Saya pasti ini akan berlaku apabila Melayu berani suarakan perubahan.


Apakah pembaharuan yang dilakukan oleh Datuk dalam PKR?

Tingkatkan imej PKR di Johor di mana ramai tahu kita sudah boleh mengorganisasikan parti, munculkan pasukan pemimpin yang ada kredibiliti dan banyak aktiviti di Johor. Elemen terpenting ialah Anwar Ibrahim.

Pada PRU12, dia tidak masuk Johor dan hanya dua kali sahaja. Jarang ada aktiviti besar- besaran. Selepas saya masuk, membawanya ke semua pelosok Johor. Mula- mula dia tidak boleh masuk dan dihalang, Ketua Polis Daerah menyatakan Anwar tidak boleh berucap. Ummo kacau, sekarang lebih reda tetapi masih ada di Sembrong dan Pagoh yang merupakan kawasan kuat Umno.

Apabila Anwar masuk selepas Bersih 2 dan Bersih 3, kerajaan tahu jika masih menggunakan kekerasan, mereka kalah teruk, rakyat akan marah. Walaupun masih ada kekacauan dan gangguan fizikal diteruskan.

Tetapi kita boleh masuk semua kawasan. Apabila Anwar masuk, seramai 8,000 hingga 12,000 hadir.

Sebelum ini di Tebrau, kita hanya boleh bermimpi sahaja untuk ke kawasan itu. Tebrau adalah kawasan Pas dan minta ditukarkan kepada Dun Puteri Wangsa, saya ambil cabaran itu.

Baru- baru ini, 8,000 hadir di Putri Wangsa melibatkan pelbagai bangsa. Sambutan macam idola dan Anwar membawa harapan kepada semua bangsa. Rakyat boleh nampak perbezaan dasar BN dan PR.


Bagaimana Datuk melihat peluang PKR dalam saingan Pusat secara keseluruhannya dalam PRU13?

Daripada maklum balas lawan dan kawan, analisis kita sendiri, kali ini boleh menang lebih daripada BN, satu majoriti cukup selesa.


Apakah tawaran PR kepada pengundi di Johor?

Kita sudah bersetuju di peringkat negeri melibatkan ketiga- tiga parti iaitu kandungan manifesto akan dilancarkan sebaik sahaja Pusat meluluskannya. Apa yang saya sebut sistem akan ditukarkan daripada sistem merampas tanah rakyat untuk kroni yang sekarang berlaku dalam skala besar di Johor. Ia menguntungkan pemimpin BN dan keluarga mereka.

Satu sistem utamakan rakyat jelata yang mempertuankan rakyat, kita sebagai hamba rakyat.


Sekiranya PR menjadi Kerajaan Pusat, siapakah akan menjadi perdana menteri, adakah Anwar atau Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang?

Itu bukan persoalan sekarang, sudah dipersetujui oleh ketiga- tiga Presiden parti, Anwar akan menjadi perdana menteri.


Sebulan akan datang,  berlaku cabar-mencabar di antara parti, apakah cabaran yang akan dihadapi PR?

Itu satu perkara biasa, menjelang pilihan raya, macam- macam tuntutan akan dibuat. Bagi saya itu bukan perkara yang luar biasa. Kita mahu gunakan parti dan pengalaman lama kita kendalikan supaya mencapai satu yang baik untuk semua.


Adakah kemungkinan ada cabaran luar biasa?

Politik adalah politik, apa pun boleh berlaku di BN dan PR tetapi bagaimana ketiga- tiga pemimpin tertinggi kendalikan akan tunjukkan kewarasan dan kebijaksanaan mereka.


Di mana Datuk akan bertanding?

Saya akan bertanding di mana-mana bila saya dapat surat watikah dan bukti saya bertanding di satu- satu tempat.


Datuk ada menyatakan PR menang secara selesa, apakah kunci kemenangan PR?

Kunci sudah ada, boleh buka pintu masuk Putrajaya. Apa yang rakyat mahukan, hari ini mereka melihat sebuah kerajaan rasuah. Tidak boleh tutup. Tidak kira bangsa, rasuah telah memiskinkan kita.

Johor dekat Singapura, boleh bandingkan apa yang berlaku di Singapura tidak main isu perkauman semua diberikan peluang berdasarkan sistem merit dan keperluan serta tidak ada orang dipinggirkan.

Keduanya, selain rasuah, bagaimana pemimpin BN tamak haloba sehingga kaut keuntungan mencecah trilion dan ia memalukan kita. Kenapa Singapura menjadi negara ke 10 rakyatnya terkaya di dunia, walhal tidak ada sumber semula jadi.

Kekayaan Singapura 500 hingga 600 lebih tinggi daripada Malaysia. Seorang guru sekolah menengah boleh mendapat setiap bulan RM28,000.

Mereka tahu rasuah yang memiskinkan rakyat. Peluang optimum tidak akan tercapai. Semua bidang, ekonomi, projek-projek kerajaan, bantuan kepada rakyat dan sistem penswastaan dan lain- lainnya.

Semuanya untuk menguntungkan satu kelas yang kecil tidak cukup satu peratus yang mereka itu sudah jadi kaya. Mereka sudah menjadi bilionair. Orang yang terkaya di rantau ini tetapi rakyat diabaikan. Di Kuala Lumpur, orang Melayu marah kerajaan, kenapa saya dalam keadaan ini berbanding Singapura?


Datuk pernah berada di dalam kerajaan, bagaimana Datuk dengan melihat keadaan politik, rakyat dan negara ini dahulu dan sekarang?

Saya nampak ada wawasan yang sama apabila dalam BN. Saya boleh mengutarakan fikiran rakyat. Pada 1988, mengapa ada perubahan dasar oleh Dr Mahathir Mohamad. Ini kerana saya berdiri dan berucap dalam dewan (Parlimen) sebagai 'backmanship', sehingga saya diserang Umno oleh pasukan A dan B.

Selepas itu, Dr Mahathir ambil huru-hara kerana kritikan dalaman, Dr M ambil tindakan dan ubah dasar iaitu Dasar Pembangunan Negara selepas itu Wawasan Dasar Negara. Pada zaman itu, saya mewakili MCA (Cina). 70 peratus kepada pembangkang, 'swing' semula kepada kerajaan kerana ada dasar.

Sehingga 2008, ada perubahan kepada orang Cina kerana ada janji yang tidak ditepati iaitu 'janji dicapati'. Kami tertipu. kami beri sokongan kuat kepada Umno-BN. Sekarang tidak lagi.

Isu tanah adalah isu besar di Johor termasuk di Selatan Johor. Kalau ada hak milik rakyat dirampas dijadikan tanah pertanian. Kalau ada pampasan, diberikan dengan nilai yang begitu kecil. Kampung juga dirampas kerana ia dikatakan setinggan.


Bagaimana dengan nasib projek Pengerang?

Pengerang adalah ulangan apa yang berlaku di Nusajaya. Ia diberikan oleh Tun (Dr Mahathir) dan Ghani ketika itu. Kerajaan mahu ambil tanah untuk link kedua.

Di Pengerang sama juga, tanah yang diperlukan hanyalah 6,000 ekar untuk projek Rapid. Tapi, mengapa mereka ambil sehingga 22,500 ekar? 17 kampung akan dimusnahkan. Masjid dan surau akan dimusnahkan. Kubur akan dialih. Sebahagian warga kampung telah diusir. Inilah permainan kerajaan untuk kroninya.


Apakah isu di sebalik salah faham PKR Johor dan DAP Johor yang turut melibatkan Datuk sendiri?

Banyak tuduhan yang dilemparkan kepada saya menerusi laman blog. Mereka tidak faham karakter saya. Mereka mengkritik saya sebagai bekas MCA. Orang kena faham, bila saya keluar MCA, saya telah korbankan diri. Kehidupan saya bersama BN pasti lebih selesa berbanding PKR. Sumber kewangan terhad dan terpaksa guna wang sendiri untuk membangunkan PKR di Johor.

Bagaimana Datuk melihat tuduhan sebegitu yang dilemparkan?

Tuduhan itu liar dan tidak terperinci. Tapi saya bersyukur, masih ada yang menyokong saya dan menafikan tuduhan itu. Tak apalah, biarlah saya menjadi orang yang bangang, tak guna, selagi PR boleh menang. Saya ni tak baik hanya kerana bekas MCA.


Benarkah Datuk sukar untuk memberi kerjasama dengan parti gabungan lain?

Saya bila-bila masa boleh bekerja, termasuk kepada mereka yang melemparkan tuduhan liar kepada saya. Sejak dalam kerajaan, saya sentiasa menganggap diri saya sebagai hamba kerajaan. saya juga pernah menasihatkan pegawai kesihatan.

Dengan itu saya ubah hospital dan klinik untuk membawa budaya penyayang kepada rakyat. Ada orang mahu lupakan semua jasa saya. Bagaimana saya mewujudkan pelbagai kemahiran termasuk perpindahan organ pelbagai jenis dengan harga rendah dan tiada penswastaan.



Apakah isu DAP -PKR ini akan memberi kesan mendalam kepada PR untuk menang dalam PRU13?

Kalau berpecah, tak ada peluang dalam PRU13. Saya percaya selepas pembahagian kerusi akhir dimuktamadkan, pada masa itu akan muncul iklim bersatu padu.


Adakah ini melibatkan kerusi Gelang Patah?

Ada beberapa kerusi tetapi tidak banyak yang bertindih. Falsafah kita adalah untuk menumpukan apa yang bersama. Jangan tumpukan kepada sebahagian kecil yang ada pertindihan. Itu resipi untuk menang.

Saya tahu, kerana saya dalam kerajaan sangat panjang berbanding bersama PR. Saya boleh nampak kalau berpecah maka peluang terhakis. Bukan kalah tapi dihakis.


Adakah masih ada ruang untuk PKR dan DAP bekerjasama untuk memecahkan tembok BN di sana?

Tidak ada masalah. Di Johor, DAP ada banyak puak di sana. Puak yang berlainan dengan yang 'itu' masih bekerjasama dengan PKR.


Bagaimana Datuk melihat penerimaan orang luar yang melibatkan diri Datuk apabila dilemparkan dengan tuduhan sebegitu?

Ia bukan satu kritikan yang munasabah. Ia boleh mengakibatkan orang-orang MCA yang memberi sokongan kepada PR pada PRU12. Jangan terlalu optimis, dalam apa juga hak mantan MCA, orang MCA tak guna, akhlak rendah dan masalah rasuah.

Masyarakat Tionghoa menyokong MCA sejak dulu sehingga 2008. Saya pernah dapat 1,000 majoriti dan 2004, majoriti 19,000. Jangan angkuh. Ada satu fenomena, kerana keangkuhan Umno, kerana itu Cina lari kepada PR dan merosakkan MCA, Gerakan dan BN.


Mengapa Datuk memilih PKR, tidak DAP selepas meninggalkan MCA?

Salah satu sebab adalah kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim. Agenda beliau adil kepada semua. Beliau adalah seorang pemimpin Melayu pertama yang berprestij tinggi dalam dan kalangan antarabangsa dan boleh menganalisis Dasar Ekonomi Baru.

Beliau tahu dasar itu diperalatkan dan digunakan untuk memperkayakan segelintir Melayu yang jadi kroni Umno. Melayu sudah sedar mengenai fakta itu. Ini orang yang saya percaya.

Saya juga pernah suarakan perkara ini semasa dalam MCA, dasar ekonomi negara sudah 38 tahun, terlalu panjang di dunia. Sistem Aparteid sudah habis. Sistem Marxisme di China juga ditamatkan selepas 30 tahun sahaja dan kini mereka laksanakan sistem pasaran.

Melayu mahukan dasar yang tidak ada rasuah, penyalahgunaan kuasa, kronisme dan nepotisme di mana rakyat diabaikan, kos hidup naik dan rakyat jadi miskin. Saya setuju dengan pendapat Anwar.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan