Selasa, 26 Februari 2013

Cegah AIDS di Perlis


Raja Muda Perlis jayakan kempen pencegahan AIDS

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tiga dari kanan) bersama kakitangan Hospital Tuanku Fauziah menyertai program Kayuhan Basikal Diraja sempena Hari AIDS Sedunia Peringkat Kebangsaan di Kuala Perlis, semalam. 
 
KANGAR 4 Dis. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini menyertai program Kayuhan Basikal Diraja sempena sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat Kebangsaan.

Baginda mengetuai puluhan peserta berkayuh sejauh lebih 20 kilometer pada program anjuran Jabatan Kesihatan Perlis bermula dan berakhir di Kompleks Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis di sini.

Sepanjang kayuhan itu, baginda yang berpakaian serba merah singgah di terminal feri Kuala Perlis bagi menjalankan kempen pencegahan AIDS dan kemudiannya singgah di surau Kampung Seberang Ramai untuk solat Asar berjemaah.

Baginda yang diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut meninjau lebih 60 buah rumah yang dilanda ribut di kawasan Kuala Perlis kelmarin.

Semasa lawatan ke kawasan ribut itu, baginda turut menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM5,000 melalui anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kuala Perlis, Mat Hassan.

Sumbangan kepada mangsa ribut dilakukan di bawah program MAIPs Peduli Bencana Ribut sebagai bantuan segera untuk kumpulan sasar.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Abdul Malik Hussin dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Ghazali Othman hadir sama.



Puteri Raja Muda Perlis, Sharifah Farah Adriana turut serta dalam program itu






Tiada ulasan:

Catat Ulasan