Selasa, 19 Februari 2013

Muhyiddin TPM ke Perlis



Muhyiddin tinjau 2 pasar malam di Perlis


KANGAR - Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meninjau pasar malam Titi Chai, Utan Aji dekat sini dan beramah mesra dengan peniaga serta pengunjung pasar yang beroperasi dua kali seminggu itu.

Ketibaan Timbalan Perdana Menteri diiringi Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu di pasar malam itu disambut anggota dewan undangan negeri kawasan Tambun Tulang Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Sempena tinjauan itu, Shahidan turut menyerahkan memorandum kepada Muhyiddin yang antara lain meminta kerajaan memberi pertimbangan sara hidup kepada pesawah berpendapatan kecil sebagaimana yang diterima nelayan.

Selain itu, melalui memorandum itu juga, beliau memohon peruntukan kerajaan pusat bagi meningkatkan taraf pasar malam Titi Chai supaya menjadi pasar malam berbumbung.

Pasar malam yang menempatkan kira-kira 50 peniaga itu beroperasi setiap Khamis dan Ahad dari 5 petang sehingga 10.30 malam.

Muhyiddin kemudiannya meninjau pasar malam Pauh dekat sini dan beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung pasar malam yang berlangsung setiap Khamis itu.

Pada kunjungan itu, Muhyiddin yang diiringi anggota dewan undangan negeri kawasan Pauh Datuk Seri Diraja Syed Razlan Putra Jamalullail turut mencuba bakatnya membuat kuih apam balik di sebuah gerai di pasar malam itu.

Beliau kemudiannya singgah di Restoran Seri Pauh yang terletak di kawasan pasar malam itu dan menikmati minum petang bersama penduduk tempatan.

Muhyiddin berada di Perlis bagi lawatan kerja sehari yang padat bermula sebelah pagi dan berakhir dengan menghadiri majlis Himpunan Rakyat 1Malaysia di Dataran Datuk Sheikh Ahmad di sini malam ini.



Muhyiddin dakwa kenyataan penubuhan jawatankuasa antara agama diputar belit






KANGAR: Tan Sri Muhyiddin Yassin kesal dengan laporan portal berita Malaysiakini yang didakwa memutarbelitkan kenyataannya berhubung penubuhan jawatankuasa antara agama, baru-baru ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau tidak menyatakan jawatankuasa itu sebagai ‘satu badan kecil saja, peranan sedikit dan tiada kuasa’.


“Saya dah semak video yang pegawai saya rakam tidak ada perkataan ‘small fry’ seperti didakwa oleh laporan media itu. Saya bercakap dalam bahasa Malaysia ketika itu. Saya cuma jelaskan apakah peranan jawatankuasa itu...saya tak tahu apa tujuan media berkenaan melaporkan sedemikian dan timbulkan salah faham.

“Saya akan teliti laporan media dan media itu haruslah lebih bertanggungjawab. Saya sudah lama dalam politik, saya tahu apa media mahu, saya jelaskan satu persatu supaya media menulisnya satu persatu,” katanya di sini, semalam.

Muhyiddin juga berkata, beliau sudah mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengadakan taklimat segera kepada semua mufti negeri bagi memberi penjelasan berhubung keputusan kerajaan menubuhkan jawatankuasa itu.

Beliau berkata, antara lain ia bagi menerangkan skop bidang kuasa jawatankuasa berkenaan yang tidak akan mencampuri urusan pokok agama Islam yang masih terletak di bawah ketua agama, iaitu Sultan setiap negeri.
“Jawatankuasa yang ditubuhkan itu berbeza dengan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) dan Majlis Antara Agama yang ditolak kerajaan sebelum ini.

“Jawatankuasa itu tidak akan mengambil sebarang tindakan dan semua cadangan diserahkan kepada Kabinet dan kita yang nilai,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang membantah kelulusan Kabinet menubuhkan jawatankuasa itu.

Muhyiddin juga menjelaskan jawatankuasa itu akan berbincang mengenai usaha mempertingkatkan persefahaman dan perpaduan antara kaum serta agama dan ia diletakkan dalam bidang kuasa Panel Perpaduan Negara serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) di Jabatan Perdana Menteri.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan