Selasa, 19 Februari 2013

Benih Kebal


Pesawah Perlis terima benih kebal

KANGAR - Sebanyak 7,081 pesawah di seluruh Perlis yang tanaman padi mereka rosak akibat masalah padi angin musim kedua dua tahun lalu, menerima bantuan benih padi kebal bagi memulakan tanaman musim baru tidak lama lagi.
  
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi Negeri, Sabry Ahmad berkata, bantuan benih Padi Clearfield itu dikeluarkan secara berperingkat mulai hari ini sehingga 15 Feb ini.
  
Bercakap kepada Bernama selepas menyampaikan bantuan kepada para pesawah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Paya di sini hari ini, beliau berkata, sebanyak 34,973 kampit benih akan diedarkan kepada 3,570 pesawah dalam kawasan kendalian Lembaga Kemajuan Pertanian Muda dan 3,511 pesawah di kawasan kendalian Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
  
Sabry berkata, benih padi itu dijangka mampu mengawal serangan ancaman padi angin yang merugikan para pesawah.



 

Kerajaan pusat memperuntukkan sebanyak RM4 juta bagi membantu para pesawah terbabit apabila lebih 6,200 hektar tanaman padi mereka diancam masalah itu, katanya.

Sementara itu Pengarah LPP Perlis, Shaidan Nordin berkata, sumbangan itu yang melibatkan kos yang besar membuktikan kerajaan sentiasa menepati janjinya dalam apa jua program.
  
Beliau berkata untuk kawasan PPK Paya sahaja, bantuan dikeluarkan kepada sebanyak 811 pesawah di bawah 20 Unit Peladang membabitkan 4,220 kampit benih bernilai RM493,740.
  
Hari ini sebanyak 277 pesawah daripada lima unit PPK Paya iaitu Padang Melangit Selatan, Padang Melangit Utara, Paya Tengah, Padang Lati Utara dan Padang Lati Selatan menjadi penerima peringkat pertama.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan