Selasa, 6 November 2012

Seni Silat 9 Guru


Gabungan ilmu sembilan guru


Dua ahli silat menunjukkan satu daripada rentak tari pertahankan diri.
 
.
Pak Lang Lah menunjukkan salah satu rentak tari dalam seni silat Warisan Pusaka.
 
SENI Silat Warisan Pusaka yang berasal dari Kampung Pokok Tai dikatakan menjadi tarikan ramai kerana kebanyakannya tidak merasa ragu untuk menyertainya berikutan ia berteraskan agama Islam.

Tidak hairanlah sehingga kini terdapat lebih enam cawangan yang aktif di bawah pertubuhan seni silat itu antaranya di Kampung Pokok Tai, Kampung Sungai Baru, Pokok Tai Lama, Kampung Bujung Merbok, Taman Seri Pinang Sungai Petani dan Kampung Sagor Padang Pusing Pendang.

Perkara itu diakui oleh pengasasnya, Salleh @ Che Lah Husin, 71, atau lebih dikenali dengan gelaran Pak Lang Lah yang merupakan guru utama yang aktif mengembangkan seni silat terbabit di seluruh negeri Kedah.

Yang Dipertua Pertubuhan Seni Silat Warisan Pusaka Kampung Pokok Tai, Mohd Amir Hassan, 38, berkata, Pak Lang Lah merupakan seorang guru agama yang tegas namun sentiasa berlemah-lembut di dalam mengajar silat dan juga ilmu agama.  
Menurutnya, Pak Lang Lah masih lagi aktif mengajar dan mengembangkan seni silat itu di merata kawasan termasuk Sik dan Baling.

Mohd Amir berkata, seni silat Warisan Pusaka bermula apabila Pak Lang Lah belajar seni silat itu bersama sembilan guru dan menggabungkan semua ilmu berkenaan dalam satu seni silat dan seterusnya mewujudkan satu pertubuhan yang didaftarkan dengan nama Pertubuhan Seni Silat Warisan Pusaka Kampung Pokok Tai.

Usaha kesan ahli

Seni silat itu bermula kira-kira tahun 70-an yang bermula di Kampung Pokok Tai apabila Pak Lang Lah menubuhkan satu gelanggang di kampung itu dengan keahlian seramai 1,000 orang.

“Ketika itu ramai ahli namun apabila seni silat ini didaftarkan di bawah kementerian kesenian pada tahun 2011 ahli yang mampu dikesan hanya 500 orang. "Kami barisan jawatankuasa akan berusaha mengesan ahli lama untuk didaftarkan dalam pertubuhan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Amir berkata, orang ramai yang ingin menyertai pertubuhan berkenaan tidak perlu ragu-ragu kerana seni silat itu lebih mementingkan kepada ilmu agama dengan meletakkannya sebagai asas dalam mengajar seni silat itu.

Rentak tari cukup istimewa

Anak pengasas dan juga ketua gelanggang, Mohd Al-Hafiz Salleh @ Che Lah Hussin berkata, seni silat itu sangat istimewa kerana tariannya tidak menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah tetapi mempunyai cara rendah diri yang tersendiri dan ia hanya diajar cara untuk mempertahankan diri tetapi tidak mempunyai serangan.

“Kami tidak diajar untuk menyerang musuh atau pihak lawan tetapi diajar cara mempertahankan diri namun semua teknik dan pergerakan yang lebih hebat akan diperoleh selepas seseorang ahli itu mengamalkan teknik asas yang diajar.

“Seseorang ahli tidak perlu belajar menyeluruh tetapi perlu mengamalkan asas sahaja sudah mencukupi untuk mengetahui semua pergerakan itu seperti doa, tari, pukulan (asas) kerana buah pukulan yang hebat akan datang secara tidak langsung,” katanya.

Menurutnya, seni silat itu dilihat agak kasar dari pukulan dan gerakan serta mampu menakutkan pihak lawan berbanding seni silat yang lain dan setiap ahli perlu menamatkan pembelajaran asas selama enam bulan dan diakhiri dengan majlis pelimau.

Katanya, seni silat berkenaan mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat setempat terutamanya penduduk dari Kampung Pokok Tai apabila lebih 80 peratus golongan muda menyertainya yang mendapat galakan dan sokongan dari keluarga masing-masing.

Utamakan ilmu agama

Mohd Al-Hafiz berkata, ayahnya lebih mengutamakan ilmu agama dahulu di mana semua ahlinya diajar ilmu agama sebelum mengajar silat kepada mereka agar ilmu itu dapat digunakan dengan baik.

Sementara itu, Mohd Amir berkata, pakaian untuk pertunjukan seni silat itu menggunakan pakaian berwarna hitam dan yang membezakan seseorang ahli itu adalah warna tali pinggang yang dipakai seperti warna putih (asas). Hijau (ahli yang cukup ilmu), merah (jurulatih), kuning (guru utama).

“Kumpulan silat pertubuhan ini juga mempunyai kumpulan gendang terdiri daripada beberapa kumpulan iaitu dari Kampung Paya Mengkuang, Baloh, Pokok Tai yang pernah memenangi johan peringkat negeri Kedah tahun 2009 serta berjaya ke peringkat akhir program Mimpi ke Bintang anjuran RTM baru-baru ini.

“Pertubuhan ini sering menyertai pelbagai pertandingan yang dianjurkan dan sering mendapat jemputan untuk majlis perkahwinan, program dan banyak lagi terutamanya pada musim cuti sekolah,” katanya kepada Sinar Harian.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan