Selasa, 6 November 2012

Agama - Niat Tak Betul


Tangkal pelaris: Niat tak betul, tak jalan


  Pengamal perubatan tradisional Islam, Othman Hasan.
 
“PADA pandangan saya, apabila melakukan ikhtiar dengan menggunakan sesuatu benda atau barang yang zahir, ia bukanlah suatu perbuatan syirik kerana ia tidak tahyul atau melibatkan perkara yang ghaib,” kata pengamal perubatan tradisional Islam, Othman Hasan.

Beliau yang berpengalaman dan menjalankan perkhidmatan rawatan ini secara sepenuh masa sejak 2001 berkata demikian ketika mengulas mengenai perbuatan seseorang individu memakai ilmu pelaris.

Menurutnya, sesuatu yang dilihat jelas secara zahir bukanlah perbuatan yang syirik, tetapi sebagai ikhtiar. Bagaimanapun, bentuk ikhtiar itu dilakukan perlulah betul dan tidak menyimpang daripada agama Islam.

"Apa yang dikatakan sesuatu yang zahir adalah benda atau barang yang diberikan kepada pesakit atau yang berhajat berada dalam bentuk nyata. Boleh dilihat dan disentuh contohnya air. Bukannya diberikan sesuatu yang tahayul seperti patung atau tangkal.

“Saya berpandangan, sesuatu pemberian dalam bentuk zahir yang diberikan kepada yang berhajat adalah usaha yang tidak seharusnya disalahertikan dan terus dikatakan sebagai perbuatan syirik,” katanya.

Menurutnya, pesakit atau pihak yang berhajat untuk mendapatkan pelaris perlu dimulakan dengan niat yang betul.

“Niat kena betul, kena lurus dan tidak bengkok. Pemakaian barang zahir yang diberikan seperti air perlu dipakai diiringi dengan doa dari ayat suci al-Quran.

"Tetapi, berlaku kesalahan besar jika individu itu bergantung kepada barang zahir yang diberikan, kerana barang itu tidak lebih daripada sekadar pendekatan antara peniaga dengan pelanggan dan selebihnya atas izin ALLAH," katanya.

Beliau menambah, untuk menjadi individu yang disukai dan disenangi, individu itu sendiri perlu baik dari segi tindakan dan perbuatan begitulah juga dengan diri seseorang peniaga itu.

"Jika dirinya sombong dan tidak ramah dengan pelanggan malah kualiti makanan yang diberikan tidak elok, pakailah berapa banyak ilmu pelaris pun belum tentu berkesan. Pendek kata niat kena betul, kalau tak pelaris apa pun tak jalan.”

Sementara itu, kata Othman, sebagai pihak yang mempunyai hajat untuk mendapatkan pelaris bagi tujuan memajukan perniagaan, perlu jelas dan mengenal pasti terlebih dahulu siapakah pengamal perubatan yang hendak dirujuk.

“Ini kerana, jika tiada pengetahuan atau cetek langsung berkenaan perkara ini, itulah yang berlaku keadaan terjerumus kepada perbuatan syirik,” tegasnya.















Tiada ulasan:

Catat Ulasan