Selasa, 6 November 2012

Politik - Pemuda PAS Berwibawa



Pemuda Pas lahir pemimpin wibawa
Wartawan Sinar Harian
4 November 2012
Salman Saleh
Salman Saleh
 
MUKADIMAH

Sayap pemuda dilihat paling penting untuk setiap parti memandangkan tenaga dan idea mereka sangat diperlukan khususnya dalam menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi. Bagi mengetahui persiapan dan aspirasi Pemuda Pas Perak, Sinar Harian telah menemu bual Setiausahanya, Salman Saleh.

Boleh tuan jelaskan fungsi atau tanggungjawab Pemuda Pas untuk parti?

Pemuda Pas merupakan sayap kanan parti di semua peringkat dan tugas utama kami ada mendukung segala keputusan atau dasar yang diputuskan perhubungan negeri. Kita juga bertanggungjawab memastikan penguasaan Pas kepada golongan belia dan remaja di Perak.

Berapakah jumlah keahlian Pas di kalangan golongan muda di Perak? Apakah ada jumlah sasaran keahlian yang ditetapkan dalam masa setahun?
Secara umumnya jumlah keahlian Pemuda Pas di Perak seramai 10,000 orang dan kami kini dalam proses untuk menambah jumlah tersebut kerana kita mengharapkan dengan jumlah ini akan menjana tenaga kerja bagi petugas pilihan raya. Bagi memastikan jumlah tenaga bagi jentera pilihan raya ini ramai, saya selaku setiausaha memantau di kawasan-kawasan bagaimana mahu memaksimumkan keahlian kita. Sasaran jumlah secara umum tiada cuma kita sentiasa muhasabah untuk mempertingkat jumlah ahli dari semasa ke semasa.

Bagaimana Pemuda Pas menarik minat golongan muda menyertai Pas?

Dalam Pemuda Negeri kita ada 10 lajnah atau biro, enam Jabatan dan satu akademi Pemuda. Kesemua ini bergerak setiap masa dalam mendapatkan sokongan golongan muda di negeri ini. Sebagai contoh, Lajnah Sukan dan Kesenian merupakan lajnah paling aktif mendekati golongan muda.  Dengan gabungan ketiga-tiga entiti ini kita bergerak ke akar umbi untuk memastikan golongan muda berminat dengan Pas ini.

Apakah Pemuda Pas mempunyai program khusus dalam melahirkan pemimpin muda yang berwibawa dan berintegriti?
Kalau kita sebut pemimpin muda yang berwibawa dan berintegriti, sebenarnya ia peranan semua pihak dalam parti. Cuma di peringkat Pemuda Pas Negeri, kita ada yang pertama, Akademi Kepimpinan Pemuda yang memberikan latihan dan kursus kepada kepimpinan pelapis di peringkat kawasan dan cawangan dalam aspek politik, pilihan raya sekali gus melahirkan pemimpin berwibawa yang mempunyai integriti.

Keduanya, kita ada Lajnah Tarbiah dan Perkaderan yang berfungsi sebagai memastikan dalaman pemuda dapat diperkukuhkan dan tidak mudah dipermainkan atau dibeli oleh pihak-pihak berkepentingan. Program setiap minggu dan setiap bulan di peringkat kawasan dan negeri diharap dapat mencapai hasrat menjadikan pemimpin kami pemimpin yang berwibawa dan berintegriti.

Bagaimanakah Pemuda Pas membantu dalam memastikan Pas terus relevan sepanjang masa untuk rakyat memandangkan wujudnya parti-parti baru?

Pada pandangan kami kewujudan parti-parti baru di negara ini bukan satu ancaman tetapi satu motivasi untuk kami sentiasa nampak relevan sebab Pas antara parti tertua di negara ini. Antara kelebihan yang ada pada Pas dan diakui oleh rakan-rakan, kami mempunyai keahlian akar umbi paling ramai. Kami mempunyai cawangan yang cukup banyak untuk menyaingi Umno.

Kesetiaan ahli kepada Pas amat baik walaupun ada kes-kes terpencil. Disebabkan itu rakyat mahu Pas untuk terus berada di dalam suhu politik di negara ini. Bagi pihak Pemuda Pas kita sentiasa membuat perubahan dalaman dalam parti ini.


PROFIL

Nama: Salman Saleh
Umur: 37 tahun
Asal: Ipoh, Perak
Isteri: Haliza Hamidun
Anak: Nur Syafi qah Husna, 9, Sofea
Huda, 5, Muhammad Hadi, 2,
Muhammad Haziq, 11 hari.
Kerjaya: Ahli Perniagaan
Jawatan sekarang: Setiausaha Pemuda Pas Perak

Latar belakang pendidikan:
1. Pendidikan rendah : Sekolah Rendah Raja Dihilir Ekram, Ipoh
2. Pendidikan Menengah: Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Pasir Putih, Ipoh
3. Pendidikan tinggi: Diploma Kejuruteraan Awam Politeknik Ungku Omar, Ipoh

Latar belakang politik:
1) Ahli Badan Perhubungan Pas Perak
2) Sekretariat Jawatankuasa Strategik dan Isu Pas Perak
3) Setiausaha Jabatan Pilihanraya Pas Perak
4) AJK Lujnah Politik Pas Perak
5) Pengerusi Tetap Pas Kawasan Ipoh Timur
6) AJK Dewan Pemuda Pas Kawasan Ipoh Timur
7) Bendahari Pas Cawangan Kampung Pasir Putih






Tiada ulasan:

Catat Ulasan