Selasa, 6 November 2012

Agama - Kurafat


Tangkal: Amalan khurafat

 
 
Antara benda-benda atau barangan yang sering dijadikan tangkal atau azimat.
 
APABILA budaya khurafat dan kepercayaan tahyul berleluasa, selagi itulah umat Islam akan terus dilanda kehinaan, kebodohan, kelemahan, dan kerugian.

Kerana kebergantungan mereka kepada ALLAH SWT telah bertukar kepada tangkal dan azimat yang tidak mampu berbuat apa-apa. Disebabkan kejahilan, wang dibelanjakan untuk membeli syirik.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menggantungkan sesuatu (berupa tangkal), maka segala urusannya akan diserahkan kepadanya (kepada tangkal).” (Riwayat Ahmad).

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang menggantung tamimah maka semoga ALLAH tidak menyempurnakan apa yang dimilikinya, dan sesiapa yang menggantungkan wada’ah, semoga ALLAH tidak membiarkannya dalam ketenangan.” (Riwayat Ahmad, Abu Ya’la, dan ath-Thabrani, para perawinya tsiqah).

Dalam riwayat yang lain: “Sesiapa menggantungkan tamimah maka dia telah melakukan syirik.” (Majma’ az-Zawa’id,) Tamimah adalah seperti tali (atau kalung) yang digantungkan pada tubuh sebagai azimat atau tangkal bertujuan mendapatkan kebaikan dan mencegah perkara berbahaya seperti sihir, gangguan dan penyakit. Biasanya diikat pada tangan atau dikalungkan pada leher anak kecil.

Wada’ah adalah bahan berupa cangkerang seperti kulit siput atau kerang yang diambil dari laut kemudian dijadikan sebagai kalung bertujuan menjaga diri daripada gangguan dan bahaya.

Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah meriwayatkan dalam tafsirnya: “Hudzaifah pernah menjenguk seseorang yang sedang terlantar sakit. Lalu beliau terlihat seutas tali yang dijadikan azimat pada lengan pesakit.
Maka beliau pun memotongnya (atau mencabutnya) dan berkata (menyebutkan firman ALLAH, Surah Yusuf, 12: 106): 'Dan sebahagian besar dari mereka tidak beriman kepada Allah melainkan dalam keadaan mensyirikkan Allah'.” (Tafsir Ibnu Katsir, 4/419).


Keputusan majlis fatwa negeri
MENERUSI keputusan Majlis Fatwa Negeri Melaka bertarikh 5 Julai 2011 yang diwartakan pada 19 Januari 2012 berhubung kepercayaan dan amalan khurafat serta penggunaan azimat menurut perspektif Islam menyatakan, khurafat ialah semua cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran, pantang-larang, adat istiadat, ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran Islam. Khurafat juga merangkumi cerita dan perbuatan yang direka dan bersifat karut atau dusta.
Sementara azimat atau tangkal adalah suatu objek yang ditulis dengan ayat atau huruf tertentu atau objek tertentu yang dianggap mempunyai kesaktian dan kuasa ghaib yang melampaui kekuatan semula jadi apabila dijampi atau dipuja.

Oleh itu, Islam sangat menitikberatkan soal akidah, syariah dan akhlak. Segala amalan dan kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada sumber yang asal seperti al-Quran, al-Hadith, Ijma’ dan Qiyas menurut pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah adalah ditolak oleh Islam termasuklah amalan memuja dan memohon pertolongan dari objek yang dipuja seperti yang selalu dilakukan oleh sesetengah bomoh dan dukun atau individu tertentu adalah syirik dan menyesatkan.

Mana-mana orang yang bersahabat dan menggunakan jin, tukang sihir dan tukang tenung adalah tergolong di dalam golongan orang yang jahil dan menzalimi diri sendiri.

Sehubung itu, keputusan muzakarah adalah haram menggunakan azimat atau tangkal yang mengandungi rajah atau tulisan yang tidak difahami seperti objek tertentu dan bercampur aduk dengan ayat al-Quran, atau berdasarkan kepada sihir, atau yang memuja hantu syaitan dan jin iblis, atau yang mengandungi benda-benda najis atau kotor dan menganggapkan tangkal mempunyai kuasa.
Amalan penggunaan azimat atau tangkal sebagai pelindung diri seperti ilmu kebal; ilmu pengasih; ilmu pelemah hati; ilmu penjauh jin; penyeri; pemanis; mempercepatkan jodoh; pelaris; penunduk musuh; penunduk kata; pemerdu suara; pembungkam; penarik rezeki; penjaga diri; penguat tenaga batin dan sebagainya yang dicampuradukkan dengan sihir adalah syirik dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Mana-mana orang Islam yang terlibat dengan perkara syirik atau khurafat, menggunakan azimat atau tangkal atau mengamalkan jampi serapah yang bertentangan dengan akidah, syariat dan akhlak Islam wajib segera bertaubat dan memohon keampunan kepada ALLAH.
(Portal rasmi Majlis Fatwa)




Tiada ulasan:

Catat Ulasan