Selasa, 15 Januari 2013

Padi Angin Simpang 4


Padi angin jejas pendapatan pesawah


Pekerja asing diupah memotong padi angin di sawah milik seorang petani di kawasan Simpang Empat.


SIMPANG EMPAT - Pesawah resah dan khuatir apabila gejala padi angin tumbuh subur di petak sawah mereka yang dijangkakan akan merencatkan hasil pulangan.

Antara tempat yang teruk dilanda padi angin termasuk Sungai Baru Timur, Sungai Bugis dan Padang Benta yang melibatkan lebih 15 hektar keluasan sawah.

Hampir 80 peratus daripada setiap hektar sawah di tempat terbabit ditumbuhi padi angin yang menghasilkan padi.

Kebanyakan pesawah terbabit dikatakan mengguna benih padi yang sah dan diperoleh daripada pembekal benih yang diluluskan pihak berkuasa.

Beberapa pesawah yang ditemui menyatakan mereka menggunakan benih gred jenis Padi 19 yang jauh lebih murah berbanding benih ‘Padi Kebal’ yang berharga RM120 seguni.

Pesawah, Kassim Sharif, 66, dari Sungai Baru Timur berkata, dia menggunakan jenis benih Padi 19 yang berharga RM32 untuk sekampit bagi tanaman pada musim ini.

“Tanaman musim ini banyak sekali ditumbuhi padi angin berbanding musim lepas,” ujarnya.

Menurutnya, sebanyak 2.4 hektar sawahnya ditanam menggunakan benih yang dibeli daripada seorang pembekal benih padi yang sah.

Seorang pesawah di kawasan sama, Rosmi Zakaria, 65, agak kecewa dengan benih yang digunakan musim ini kerana terlalu banyak ditumbuhi padi angin.

Menurutnya, dia tidak mampu untuk membeli benih padi bernilai tinggi yang berjenama seperti disarankan pertubuhan peladang kepada petani yang berhasrat melipatgandakan hasil padi masing-masing.

Rosmi berkata, dia membelanjakan sehingga RM500 untuk upah pekerja setiap 0.3 hektar sawah, tidak termasuk belanja untuk kawalan penyakit tanaman itu.

Seorang lagi pesawah, Dahlan Seman, 54, dari Sungai Bugis, dekat sini, berkata, 1.2 hektar daripada  3  hektar tanaman padinya pada musim ini ditumbuhi padi angin.

Menurutnya, dia bercadang menggunakan benih padi yang diiktiraf meningkatkan hasil padi tetapi tidak mampu untuk membayar RM120 bagi seguni benih yang dikatakan bebas dari ancaman padi angin itu.

“Saya biarkan sahaja padi angin tumbuh daripada membuang masa dan duit untuk mengupah kerja memotong padi liar itu,” katanya yang menggunakan benih daripada pembekal tempatan.

Sementara itu, Adun kawasan Simpang Empat, Russele Eizan yang ditemui ketika meninjau kawasan sawah yang teruk dilanda padi angin berkata, kawasan berkenaan mempunyai masalah dengan hasil tanaman.

“Saya dapati ada pesawah yang terpaksa membelanjakan wang untuk mengupah pekerja asing



membersihkan padi angin di sawah mereka dan saya kecewa masalah ini gagal diatasi pihak berkenaan,” katanya.

Russele berkata, pihak berkenaan sewajarnya memastikan pembekal yang benar-benar layak serta memenuhi syarat untuk diberikan lesen membekalkan benih padi sah kepada pesawah.

“Terdapat pengusaha benih padi sah diberikan had kuota tidak sepatutnya walaupun, didapati tidak ada loji atau tapak yang cukup untuk menyediakan benih.

“Malah, ada juga pembekal atau pengusaha benih padi sah yang terpaksa membeli benih daripada pihak lain untuk memenuhi kuota yang diperlukan,” katanya.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan