Jumaat, 28 Februari 2014

Tembok Elektrik atau Konkrit 32km


Ganti tembok atau pagar elektrik di sempadan

  • Ab Rahim (duduk, lima kanan) dalam lawatan ke pos-pos UPP Padang Besar, semalam.
PADANG BESAR - Spesifikasi pagar baru bagi menggantikan pagar di sempadan Kedah-Perlis yang telah uzur sedang ditentukan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ketua Pengarah Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), Datuk Ab Rahim Ismail  berkata, kementerian kini sedang mengkaji samada pagar baru sepanjang 32 kilometer di sempadan utara tanah air itu perlu diganti dengan tembok konkrit ataupun pagar elektrik.

Katanya, untuk mengganti pagar baru dari Bukit Kayu Hitam, Kedah hingga ke Padang Besar, Perlis itu, kerajaan terlebih dahulu perlu memaklumkannya  kepada kerajaan Thailand kerana ia melibatkan perhubungan dua hala.

“Pagar yang sudah uzur di sempadan sememangnya perlu ditukar, perkara ini telah dibawa ke pihak kementerian dan mereka sedang menentukan pagar yang sesuai serta bermutu tinggi supaya keselamatan di sempadan lebih terjamin,” katanya kepada pemberita selepas melawat pos-pos UPP di Padang Besar, di sini, semalam.

Sebelum ini, kerajaan negeri Perlis memohon supaya kerajaan pusat menggantikan pagar sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini dengan tembok baharu bagi meningkatkan tahap keselamatan negara dan membanteras aktiviti penyeludupan.

Menteri Besar Perlis, Azlan Man berkata, keadaan pagar sepanjang 32 kilometer dari Padang Besar, di sini sehingga Bukit Kayu Hitam, Kedah yang dibina sejak tahun 1979 terlalu usang selain sering mengalami kerosakan.

Sementara itu, mesin pengimbas bergerak turut dijangka akan dipasang di Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Padang Besar hujung tahun ini.

Ab Rahim berkata, KDN sedang mengkaji untuk mendapatkan mesin yang terkini dan terbaik bagi melancarkan tugas anggota keselamatan dan UPP.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan