Ketua Polis Daerah Kangar berkata, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin, dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa menunggang basikal seorang diri dari rumahnya di Kampung Bunga Mas, Simpang Empat, dekat sini, ke masjid berhampiran.

Katanya, apabila sampai di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Saffi, mangsa diserang oleh suspek dan menikam bahu kanan mangsa.

“Pihak polis yang menerima laporan kejadian terus ke lokasi dan berjaya memberkas lelaki terbabit serta merampas sebilah pisau yang digunakan untuk menikam mangsa.

“Siasatan awal mendapati suspek yang berusia 35 tahun merupakan anak kepada tuan rumah yang disewa oleh keluarga mangsa dan polis tidak menolak mangsa berkemungkinan mengalami masalah mental,” katanya ketika dihubungi.

Jelas Abdul Rahman, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk menerima rawatan.

"Mangsa dibenarkan pulang selepas menerima tiga jahitan di bahagian bahu kanan," katanya.

Katanya, suspek kini ditahan reman empat hari bermula semalam (Sabtu) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.