Jumaat, 28 Februari 2014

Majukan Kuala Perlis - MB



MB mahu Kuala Perlis dibangunkan

Menteri Besar Azlan Man berkata untuk tujuan itu lebih banyak prasarana dan keperluan pelancong akan dibina bagi menggalakkan mereka bermalam di Kuala Perlis.

"Jika selama ini pelancong hanya singgah untuk makan semasa dalam perjalanan pergi atau pulang dari Langkawi, dengan adanya kemudahan ini saya yakin mereka akan tertarik untuk bermalam sekurang-kurangnya satu malam.

"Kerajaan sekarang tidak mahu melihat industri pelancongan yang menjana ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Perlis berlalu begitu sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan 'Malam Penghargaan Winter Wonderland Hotel Brasmana' di Kuala Perlis, malam tadi.

Beliau berkata kerajaan negeri menyasarkan kira-kira lima peratus daripada keseluruhan pelawat ke Perlis bermalam di Kuala Perlis dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dalam pada itu katanya, usaha membangunkan Kuala Perlis sebagai destinasi pelancongan memerlukan kerjasama pihak swasta bagi mengatasi kekangan kewangan kerajaan negeri.

Bagi pihak kerajaan pula, antara langkah yang diambil ialah menaik taraf Jeti Feri Kuala Perlis dan memasang lebih banyak lampu dan hiasan bagi memperindah kawasan itu.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau mengingatkan pemain-pemain industri pelancongan agar tidak berasa selesa dengan pencapaian mereka, sebaliknya terus berusaha dengan idea-idea kreatif dan inovatif untuk memikat pelancong.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pengurusan Hotel Brasmana yang mengadakan sambutan musim 'angin timur' dalam membawa kelainan untuk menarik pengunjung.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan