• Arahan sekolah ditutup yang dilekatkan di pagar SK Pauh.
ARAU - Dua sekolah di Arau ditutup berikutan asap tebal dari tapak pelupusan sampah di Padang Siding Pauh di sini, semalam.

Pengarah Pelajaran Perlis, Dun Kasa berkata, dua sekolah itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Pauh dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Min yang hanya terletak kira-kira 500 meter dari tapak berkenaan.

Katanya, kedua-dua sekolah itu terpaksa ditutup apabila pihaknya khuatir asap tebal yang menyelubungi sekolah terbabit menjejaskan kesihatan murid.

“Asap tebal dari tempat pelupusan sampah ini berkemungkinan mengeluarkan gas-gas yang membahayakan kesihatan, pihak jabatan sangat prihatin mengenai perkara ini.

“Saya difahamkan sekiranya murid-murid sekolah ini menghidu asap yang beracun, ia boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan kepada mereka,” katanya ketika ditemui semasa membuat lawatan ke SK Pauh, semalam.

Katanya, sekolah itu akan dibuka semula sekiranya keadaan sudah tidak membahayakan kepada murid.

Sementara itu, Ketua balai Bomba Arau Mohd Kifli Hamid berkata, pihak bomba mengambil langkah mengawal kebakaran di pusat pelupusan sampah terbabit 24 jam sehari bagi memastikan kebakaran itu tidak merebak.

Beliau berkata, setakat semalam sebanyak 40 peratus kebakaran itu berjaya dikawal sejak kebakaran berlaku pada Selasa lalu.

Katanya, ia meliputi kawasan hampir 5.1 hektar, namun pihak bomba masih mengalami kesukaran untuk memadam api yang merebak ke bahagian sampah yang sudah mendap hampir 20 kaki.

“Keadaan api yang menyala di bawah di samping angin yang bertiup di musim panas ini menyebabkan asap tebal sehingga menyelubungi kawasan sekitar Pauh termasuk di sekolah yang berdekatan.

“Kejadian ini akan berlanjutan beberapa hari lagi, pihak bomba masih tidak dapat memastikan tempoh kebakaran ini dapat dikawal sepenuhnya,”katanya.

Kawasan pelupusan sampah di Padang Siding ini beroperasi sejak 2007 selepas tapak pelupusan sampah di Kuala Perlis ditutup.