• Khairul Anuar melihat keadaan Surazmi yang terlantar. 
PADANG BESAR - Seorang pemuda terlantar di atas katil sejak tiga tahun lalu akibat menderita penyakit misteri yang melenyapkan seluruh keupayaannya.

Surazmi Kashin, 32, berkeadaan demikian apabila dia mengadu sakit kepala pada 22 Disember 2011 sebelum tidak sedarkan diri ketika dikejutkan oleh ibunya untuk bangun tidur pada waktu pagi.

Dia yang dulunya ceria dan lasak terbaring di rumahnya di Kampung Guar Medan Gatal, Chuping dekat sini dan kini sekadar mampu mengerdipkan mata.

Ibunya, Zainab Mat Aris, 55, pula masih menaruh harapan sekurang-kurangnya dia mampu bersuara menyatakan apa yang dirasa.

Anak ketiga daripada empat beradik itu sudah beberapa kali dimasukkan ke hospital, namun selepas beberapa hari dia akan dibenarkan pulang dan tidak mempunyai sebarang penyakit.

“Keluarga saya tidak mempunyai pendapatan tetap, suami saya tidak mampu bekerja kerana penyakit usus, kini kami hanya mengharapkan duit dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan untuk membeli lampin pakai buang dan susu Surazmi.

“Dua lagi kakaknya merupakan ibu tunggal manakala adiknya yang bongsu hanya bekerja sebagai buruh,” katanya.

Jelas Zainab, pendapatan adik beradiknya yang lain tidak tetap membataskan mereka untuk menghulurkan bantuan secukupnya.

Namun dia bersyukur kerana orang kampung dan saudara mara memberi perhatian menghulurkan sumbangan kepada keluarganya.

Kepayahan hidup Surazmi dan keluarga turut mendapat perhatian Ketua Pemuda Umno Bahagian Padang Besar, Khairul Anuar Ahmad yang menghulurkan bantuan barang keperluan serta wang tunai kepadanya semalam.