Jumaat, 6 Februari 2015

Tambah Pusat Belian Padi


Enam pusat belian padi ditambah

ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) menerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) akan menambah enam lagi pusat belian padi di Kedah dan Perlis dalam usaha mempercepatkan proses penjualan padi pada masa akan datang.

Pengerusinya, Datuk Othman Aziz berkata, setakat ini lima pusat belian telah diwujudkan, manakala enam lagi dalam proses pembinaan dan dijangka siap hujung tahun ini.
  
"Mada bekerjasama dengan Bernas menerusi pusat belian ini dalam meringankan dan mempercepatkan proses jualan supaya tidak timbul masalah lebihan padi," katanya .
    
Jelasnya pusat belian yang antaranya akan dibina di Kerpan, Pendang di Kedah dan Arau serta Simpang Empat di Perlis menyasar untuk menampung kapasiti belian sehingga 4,000 tan semusim bagi setiap pusat belian.
  
"Misalnya dalam 50,000 tan, 10 peratus daripadanya boleh ditampung pusat-pusat belian, jadi ini boleh membantu mempercepat proses membeli," katanya.
  
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengarahkan Bernas (Padiberas Nasional Berhad) agar membeli semua lambakan padi yang berlaku di Perlis yang dikesan awal minggu lalu serta-merta bagi mengelak petani daripada mengalami kerugian.
  
Othman berkata, masalah dihadapi pengilang dan petani terutama di Perlis bukan disebabkan masalah lambakan padi tetapi lebih kepada istilah 'lebihan  padi'.

"Terdapat lebihan berbanding kemampuan kilang boleh terima. Contohnya kalau kilang boleh beli 200 tan sehari, ia akan beli 200 tan saja.

 Kilang swasta pula biasanya akan beli ikut kapasiti pengeringan padi yang ia mampu," katanya.
 
Ahli Parlimen Jerlun itu berkata, pertembungan jadual penanaman padi bagi fasa dua dan tiga tahun lalu, menyebabkan tempoh tuaian padi serentak, sekali gus mendorong peningkatan hasil tuaian berlebihan berbanding biasa.
  
Beliau turut menegaskan tidak wujud isu kilang menolak untuk membeli padi, sebaliknya ia tertakluk kepada had kapasiti pembeliannya.

Sehubungan itu beliau menasihatkan supaya petani mengikuti jadual penanaman padi yang telah ditetapkan Mada bagi mengelak pertembungan padi masak serentak di empat wilayah Muda.
  
"Untuk pengilang pula, semua pengilang mesti pastikan kilang mereka berada dalam keadaan yang boleh membeli dan memproses padi," katanya.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan