KANGAR - Polis kini memburu dua lelaki yang disyaki memecah masuk dan mencuri pelbagai jenis telefon bimbit dianggarkan bernilai RM40,000 di kedai elektrik Seng Heng di sini.

Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, kedua-dua  suspek itu telah dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam bangunan tersebut.

Katanya, pihak polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pada jam 4.25 pagi memaklumkan ada individu telah pecah masuk ke kedai berkenaan.

Anggota MPV yang sampai ke tempat kejadian mendapati kedai itu sudah dipecahkan dan hasil siasatan mendapati pintu depan jenis besi dan gril telah diumpil manakala mangganya dipotong.

“Sebanyak 36 telefon bimbit termasuk jenama Apple dan Samsung bernilai kira-kira RM40,000 telah dilarikan suspek,” katanya.

Abdul Rahman meminta orang ramai yang mempunyai maklumat telefon yang hendak dijual dengan murah melaporkannya kepada polis bagi membantu pihaknya menjalankan siasatan.

Menurutnya kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk premis.