KANGAR - Seorang penjual rojak mampu meraih pendapatan hampir RM100 setiap hari kerana digemari penduduk di sekitar bandar Kangar.

Sudin Abdul, 64, yang berasal dari Rancangan Perumahan Awam Beseri dekat sini, berkata, dia menjual rojak yang dikenali sebagai Rojak Anak Teruna sejak 40 tahun lalu dengan resipinya yang tersendiri.

Katanya, nama rojak itu diberikan kerana statusnya yang tidak pernah berkahwin dan hanya menanggung hidupnya dengan menjual rojak.

“Rojak saya tidak pernah kekurangan pelanggan malah jika ada pelanggan yang mahu mendapatkan resipi, saya pasti akan kongsi.

“Saya pernah kongsi dengan penggemar rojak dari seluruh semenanjung termasuk dari Sabah dan Sarawak,” katanya yang berniaga di Dataran Dato Sheikh Ahmad di sini.

Sudin berkata, dia bersyukur kerana diberikan peluang oleh Majlis Perbandaran Kangar (MPK) untuk berniaga di dataran terbabit yang menjadi tumpuan penganjur untuk mengadakan pelbagai program.

Menurutnya, secara tidak langsung pelanggan akan datang ke gerainya untuk membeli rojak.