ARAU - Sebuah stesen minyak di sini diarah tutup Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perlis selepas berdegil menjual minyak subsidi kepada penyeludup minyak.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Negeri, Razali Lebai Salleh berkata, arahan penutupan itu dikeluarkan berkuat kuasa kelmarin (Jumaat) sehingga siasatan selesai.

Katanya tempoh penutupan stesen minyak itu bergantung kepada ibu pejabat KPDNKK di Putrajaya.

“Paling cepat ia boleh dibuka semula adalah minggu depan namun semuanya bergantung kepada Putrajaya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Razali menjelaskan, sebelum ini pihaknya telah membuat risikan selama tiga hari ke atas stesen minyak tersebut setelah menerima aduan orang ramai.

Hasilnya, didapati berlaku kegiatan menjual minyak kepada kenderaan yang dipercayai menyeludup minyak pada awal lagi.

Semasa penjualan, lampu di stesen minyak tersebut dimatikan bagi mengelak pandangan orang ramai.

“Saya akan syorkan kepada pihak kementerian dan juga syarikat petroleum untuk mengambil tindakan yang tegas supaya menjadi pengajaran kepada pengusaha  stesen minyak lain di negeri ini.

“Selain itu kita berharap selepas ini, mereka tidak bersubahat dengan sindiket yang menjalankan aktiviti menyeludup minyak keluar ke luar negara kerana aktiviti ini menyebabkan kerugian yang cukup banyak kepada kerajaan,” katanya.

Menurut beliau, arahan penutupan stesen minyak tersebut adalah mengikut Perkara 12A, Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana gagal mematuhi arahan pengawal.