KANGAR - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kuala Perlis berjaya mematahkan cubaan menyeludup benih kerang bernilai RM382,000 ke negara jiran.

Pemangku Komander UPP Perlis, Asisten Superintenden Bahari Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam dan menahan sebuah lori kira-kira jam 2.45 petang Selasa di Plaza tol Utara, Alor Setar.

Hasil pemeriksaan, seorang pemandu dan dua pembantu berumur antara 18 hingga 25 tahun ditahan bersama 191 guni berisi benih kerang.

Tambahnya, guni-guni benih kerang tersebut dipercayai dibawa dari Kuala Sepetang, Perak untuk dijual ke negara jiran.

Bercakap kepada media di Kompleks UPP, Kuala Perlis dekat sini hari ini, Bahari berkata setiap guni yang dirampas berisi kira-kira 30 kilogram benih kerang dan harga di pasaran lebih RM2,000 setiap guni.

Benih kerang tersebut diserahkan kepada Jabatan Perikanan. - Bernama