•  
  •  
  • 4 Januari lalu.
KANGAR - Pelajar tingkatan lima yang dituduh mencederakan seorang guru lelaki menggunakan kerambit pada hari pertama persekolahan dibebaskan dengan jaminan polis, pagi semalam.

Menurut Ketua Polis Perlis Datuk Zull Aznam Haron berkata, suspek dibebaskan selepas tahanan reman terhadapnya tamat setelah empat hari disoal siasat polis sejak Jumaat lalu.

“Bagaimanapun suspek akan dituduh di mahkamah tidak lama lagi selepas selesai laporan perubatan guru terbabit oleh pihak hospital.

“Suspek tidak dituduh hari ini kerana pihak polis perlu menunggu laporan berkenaan selain laporan lengkap dari pihak sekolah,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkembangan lanjut mengenai kes pelajar itu, di IPK Perlis, semalam.

Suspek yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Perlis ditahan di rumahnya di Kuala Perlis pada kira-kira pukul 1 pagi (Jumaat) selepas enggan menyerah diri selepas kejadian.

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya.

Dalam kejadian pukul 7 pagi Khamis lepas, pelajar terbabit dikatakan marah selepas guru berkenaan yang memeriksa pintu masuk sekolah menegurnya kerana menggayakan rambut ala ‘punk’ dan mewarnakan rambut.

Selepas ditegur, pelajar itu pulang ke rumah dan datang semula ke sekolah dengan ibunya untuk bertemu dengan guru tersebut sehingga berlaku satu pertengkaran.

Pelajar itu bertindak menyerang guru berkenaan menggunakan kerambit sehingga mengakibatkan kecederaan di bawah mata kanannya dan terpaksa diberikan rawatan di Klinik Kesihatan Kuala Perlis.