• Ruang dalam bot yang diletakkan tong berisi diesel untuk diseludup.
KANGAR - Seorang tekong bot dan dua awak-awak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) apabila cuba menyeludup diesel bersubsidi sebanyak 900 liter bernilai RM2,340 ke negara jiran, kelmarin.

Ketua Penguat kuasa Pangkalan Maritim Kuala Perlis, Leftenan Komander Maritim Shahrizan Raman berkata, ketiga-tiga lelaki tempatan berusia 23 hingga 30 tahun itu ditahan di kedudukan 1.2 batu nautika dari pantai Kuala Perlis dipercayai dalam perjalanan dengan sebuah bot nelayan kelas A ke perairan Thailand.

"Semasa bot ronda Maritim membuat pemeriksaan rutin terhadap bot-bot nelayan kira-kira jam 2.30 petang kelmarin, pihak kami mendapati sebuah bot dalam keadaan mencurigakan menuju ke perairan negara jiran.

"Selepas memintas bot terbabit dan melakukan pemeriksaan, tiga nelayan berkenaan didapati membawa sebuah tong yang berisi minyak diesel disimpan di hadapan bot itu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ketiga-tiga lelaki yang ditahan termasuk bot dibawa masuk ke Pangkalan Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985.

Shahrizan berkata, selain kes penyeludupan minyak, Maritim juga memandang serius dalam usaha membanteras aktiviti pencerobohan nelayan negara jiran dan bot pukat rawa sorong serta aktiviti lain yang menyalahi undang-undang Maritim.

Sehubungan itu, Maritim meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini di talian MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim
Pangkalan Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162.