Jumaat, 6 Mac 2015

2 Ahli MyRIS


Dua sekolah di Perlis jadi ahli MyRIS



KANGAR - Dua buah sekolah di Perlis secara rasmi menjadi 'chapter' Persatuan Penyelidikan dan Inovasi Malaysia (MyRIS) yang ditubuhkan khusus untuk memberi fokus kepada pembudayaan inovasi dan penyelidikan dalam kalangan pelajar sekolah.













 
Sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra (SMTSP).


 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sena, kedua-duanya di Kangar.

Pengerusi MyRIS, Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin berkata, MyRIS menawarkan manfaat besar termasuk bimbingan, khidmat nasihat dan skim latihan.

"MyRIS ditubuhkan tahun lepas dengan memberi fokus kepada usaha-usaha mempromosikan sains dan inovasi dalam kalangan pelajar," kata Kamarudin yang juga Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap).

Beliau memberitahu pemberita hari ini, buat permulaan sekumpulan penyelidik dan ahli akademik UniMAP diberi tanggungjawab untuk mengemudi MyRIS dan telah mendaftar 100 orang sebagai ahli.

Kamarudin berkata, konsep yang diketengahkan MyRIS berbeza dengan fokus yang diberikan kepada pembelajaran melalui aktiviti dan penglibatan langsung pelajar dan kemudiannya dihubungkaitkan dengan kurikulum akademik itu sendiri.

"Sekolah-sekolah yang menjadi ahli MyRIS berpeluang menyertai pelbagai pertandingan inovasi, rekacipta dan penyelidikan peringkat tempatan dan antarabangsa dan sekali gus terdedah dengan pengalaman sektor industri," tambahnya.

Selain SMTSP dan SK Sena, SK Sultan Idris II, Kuala Kangsar, Perak juga mendaftar sebagai 'chapter' MyRIS.

Menurut Kamarudin, MyRIS akan menawarkan biasiswa kepada para pelajar yang cemerlang melalui kerjasama strategik dengan sektor industri dalam tempoh dua tahun lagi.

"Inisiatif dan usaha MyRIS ini diharap membantu meningkatkan peratusan pelajar yang mengambil mata pelajaran sains di peringkat sekolah dan di institusi pengajian tinggi.

"MyRIS berperanan untuk mengubah stigma dan persepsi negatif pelajar yang beranggapan mata pelajaran sains dan matematik sukar untuk lulus dengan cemerlang selain menjejas peluang mereka melanjutkan pengajian ke universiti," kata Kamarudin.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan