Wanita dakwa ditipu pasar raya
Nurul Illahi Zainal Abidin, 28, berkata, dia menyedari dirinya ditipu ketika mahu mengeluarkan wang, namun mendapati wang di dalam akaun simpanannya berkurangan.
Menurutnya, dia terus membuat pemeriksaan di bank berdekatan pada 20 Februari dan meminta pihak bank mengeluarkan penyata akaun untuk mengetahui punca wang berkurangan dan dia diberitahu kakitangan bank terdapat pemotongan dilakukan tanpa pengetahuan pada hari pembelian.
“Pihak bank juga mengesahkan sebanyak RM1,399 dipotong ketika membuat transaksi di bank pasar raya terbabit tanpa mendapat pengesahannya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, dekat sini, semalam.
Nurul Illahi mendakwa, ketika membeli televisyen di sebuah pasar raya dia ada menggunakan mesin perkhidmatan debit kad yang disediakan, walau bagaimanapun transaksi berkenaan gagal selepas tiga kali dilakukan pada hari sama.
Menurutnya, juruwang terbabit meminta dia untuk membuat pembayaran secara tunai pada jam 10.55 malam selepas transaksi yang dijalankan itu tidak berjaya.
“Saya juga terkilan kerana tidak pernah menandatangani atau mengesahkan untuk potongan dilakukan pasar raya ke atas akaun simpanan saya.
“Saya mengesyaki mungkin ada penipuan selepas bayaran dibuat kerana nilai yang keluar dari bank sama dengan nilai barang yang dibeli, sedangkan saya tidak membuat mana-mana pengesahan yang membolehkan pihak pasar raya terbabit membuat pemotongan terhadap akaun simpanan saya,” katanya.
Nurul Illahi berkata, sepatutnya perkara itu tidak berlaku terhadap pelanggan sepertinya kerana perkhidmatan itu disediakan di mana-mana pasar raya untuk pelanggan.
“Sedangkan bukti menyatakan saya membeli barangan menggunakan debit kad tidak wujud dalam transaksi yang dibuat ketika membuat pemeriksaan di bank dan bagaimana pihak pasar raya boleh membuat potongan sesuka hati tanpa memaklumkan kepada saya terlebih dahulu,” katanya.
Tambahnya, dia tertekan apabila perlu melakukan banyak prosedur bagi mendapatkan wangnya semula di mana terpaksa membuat pelbagai salinan dokumen dan diarahkan untuk menunggu selama 30 hari untuk pihak berkaitan membuat siasatan.
“Untuk mendapatkan kebenaran, saya membuat laporan polis kerana mendapati sejumlah wang ditolak tanpa sebarang alasan dan pengesahan daripada saya.
“Saya berharap supaya siasatan dijalankan dengan adil agar pengguna lain tidak ditindas ketika membeli barang di mana-mana pasar raya selepas ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan