Selasa, 12 Mac 2013

Dapat Geran Tanah


Impian memiliki geran tanah tercapai

PADANG BESAR 8 Mac - Hasrat seorang pesawah untuk mendapatkan geran hakmilik tanah yang diusahakannya selama 50 tahun, akhirnya tercapai.

Othman Abdullah, 73, antara 174 penduduk di kawasan Chuping, Titi Tinggi dan Beseri dekat sini menerima geran hak milik tanah yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu di Dewan Malau, Batu Hampar, Beseri di sini petang semalam.

''Saya mengusahakan tanah ini sejak berusia 16 tahun. Saya terpaksa melakukan kerja-kerja meneroka kawasan hutan yang dipenuhi dengan pokok-pokok besar," katanya.

Beliau melahirkan perasaan syukur kerana tanah hampir seluas sehektar yang diusahakan itu kini sudah mempunyai geran serta memudahkan untuk diwarisi oleh anak-anaknya nanti.

Begitu juga dengan Hanida Abdul Rahman, 46, yang akhirnya mendapat geran untuk tanah yang diwarisi daripada ayahnya.

''Saya rasa lega kerana tanah ini akhirnya mempunyai geran," katanya.

Dengan itu, katanya, mudah baginya untuk merancang kemungkinan akan membina rumah di atas tanah tersebut.

Sementara itu, Md. Isa dalam ucapannya menasihatkan rakyat di negeri ini supaya mengambil iktibar terhadap peristiwa yang berlaku di Lahad Datu, Sabah.

Beliau berkata, jika berlaku kekacauan maka segala urusan tidak akan dapat berjalan dengan lancar.

Sehubungan itu, katanya, setiap rakyat perlu menghargai keamanan yang dinikmati selama ini.

Katanya, keamanan perlu dijaga bersama supaya apa yang dihasratkan oleh rakyat akan dapat dicapai dan mudah dilaksanakan kerajaan.










Tiada ulasan:

Catat Ulasan