Selasa, 12 Mac 2013

Sabotaj


Lori bergerak MPK disabotaj



Lori bergerak MPK yang digunakan ketika berkempen penyampaian maklumat ke kawasan setempat disabotaj pihak tidak bertanggungjawab dengan tulisan ABU.
 
KANGAR - Majlis Perbandaran Kangar (MPK) mendakwa ada individu cuba mensabotaj kenderaan bergerak yang digunakan ketika menyampaikan maklumat ke kawasan perumahan dan penempatan masyarakat dekat sini, apabila kenderaan itu diconteng dengan perkataan ABU ‘Asalkan Bukan Umno’.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4.45 pagi, semalam, di mana kenderaan yang merupakan lori bergerak itu diparkir bersebelahan Pejabat MPK diconteng seorang remaja lelaki berseluar pendek paras lutut dengan menaiki sebuah kereta Viva berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Yang Dipertuanya, Rosley Mat berkata, perkara itu adalah elemen sabotaj di mana tulisan berkenaan menyebabkan masyarakat akan menanggap seolah-olah MPK sebuah agensi menentang kerajaan yang memerintah.

“Dikhuatiri ketika lori bergerak ada yang membaca apa yang ditulis, seolah-olah menyatakan agensi ini menentang kerajaan yang memerintah.

“Mujur ia disedari oleh kakitangan bertugas sebelum memulakan kempen di kawasan tumpuan kerana ia akan menjejaskan imej organisasi,” katanya di sini, semalam.

Rosley berkata, malah tulisan berkenaan kelihatan selari dengan logo MPK menyebabkan masyarakat akan menyalah tafsir slogan yang dibawa.

“Melalui rakaman CCTV, pihaknya mampu mengesan tindakan sabotaj ini memperlihatkan seorang remaja lelaki yang tidak mengetahui memihak sebelah mana kerana imej yang dilukis pada lori berkenaan ialah ABU mendefinisikan sebagai tindakan untuk menyokong pihak tertentu asalkan bukan Umno.

“Bagaimanapun kos yang perlu ditanggung untuk menghapuskan tidak la besar tetapi akan mengaibkan maruah jabatan dan organisasi sehingga orang ramai akan membuat anggapan yang salah,” katanya.

Katanya, beliau tidak mahu bersangka buruk dengan sesiapa sahaja malah menyerahkan kejadian itu kepada polis untuk menjalankan siasatan agar menjadi peringatan kepada rakan di agensi lain supaya lebih berhati-hati kerana ada kumpulan yang bergerak menjalankan usaha jahat mengancam keselamatan awam.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan