Wanita dakwa ditipu pasar raya
Nurul Illahi menunjukkan resit yang diterima sewaktu membuat pemeriksaan di bank dan laporan polis yang dibuat.
KANGAR - Seorang kakitangan awam membuat laporan polis berhubung
tindakan sebuah pasar raya yang didakwa menipu dengan mengenakan bayaran
berlebihan selepas dia membeli sebuah televisyen berharga RM1,399 dekat
sini, pada 18 Februari lalu.
Nurul Illahi Zainal Abidin, 28, berkata, dia menyedari dirinya ditipu
ketika mahu mengeluarkan wang, namun mendapati wang di dalam akaun
simpanannya berkurangan.
Menurutnya, dia terus membuat pemeriksaan di bank berdekatan pada 20
Februari dan
meminta pihak bank mengeluarkan penyata akaun untuk
mengetahui punca wang berkurangan dan dia diberitahu kakitangan bank
terdapat pemotongan dilakukan tanpa pengetahuan pada hari pembelian.
“Pihak bank juga mengesahkan sebanyak RM1,399 dipotong ketika membuat
transaksi di bank pasar raya terbabit tanpa mendapat pengesahannya,”
katanya ketika ditemui Sinar Harian, dekat sini, semalam.
Nurul Illahi mendakwa, ketika membeli televisyen di sebuah pasar raya
dia ada
menggunakan mesin perkhidmatan debit kad yang disediakan, walau
bagaimanapun transaksi berkenaan gagal selepas tiga kali dilakukan pada
hari sama.
Menurutnya, juruwang terbabit meminta dia untuk
membuat pembayaran
secara tunai pada jam 10.55 malam selepas transaksi yang dijalankan itu
tidak berjaya.
“Saya juga terkilan kerana tidak pernah menandatangani atau mengesahkan
untuk potongan dilakukan pasar raya ke atas akaun simpanan saya.
“Saya mengesyaki mungkin ada penipuan selepas bayaran dibuat kerana
nilai yang keluar dari bank sama dengan nilai barang yang dibeli,
sedangkan saya tidak membuat mana-mana pengesahan yang membolehkan pihak
pasar raya terbabit membuat pemotongan terhadap akaun simpanan saya,”
katanya.
Nurul Illahi berkata, sepatutnya perkara itu tidak berlaku terhadap
pelanggan sepertinya kerana perkhidmatan itu disediakan di mana-mana
pasar raya untuk pelanggan.
“Sedangkan bukti menyatakan saya membeli barangan menggunakan debit kad
tidak wujud dalam transaksi yang dibuat ketika membuat pemeriksaan di
bank dan
bagaimana pihak pasar raya boleh membuat potongan sesuka hati
tanpa memaklumkan kepada saya terlebih dahulu,” katanya.
Tambahnya, dia tertekan apabila perlu melakukan banyak prosedur bagi
mendapatkan wangnya semula di mana terpaksa membuat pelbagai salinan
dokumen dan diarahkan untuk menunggu selama 30 hari untuk pihak
berkaitan membuat siasatan.
“Untuk mendapatkan kebenaran, saya membuat laporan polis kerana
mendapati sejumlah wang ditolak tanpa sebarang alasan dan pengesahan
daripada saya.
“Saya berharap supaya siasatan dijalankan dengan adil agar pengguna
lain tidak ditindas ketika membeli barang di mana-mana pasar raya
selepas ini,” katanya.